Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan sebanyak 10,995 tiket perlawanan Pestabola Merdeka 2023 telah terjual setakat ini sejak jualan dibuka pada bulan Ogos lalu.

Pestabola Merdeka 2023 akan berlangsung pada bulan Oktober depan turut disertai oleh 3 pasukan iaitu India, Palestin dan Tajikistan.

Lautan penyokong seramai 80,000 ditagih bagi menyemarakkan semangat pemain Harimau Malaya yang bakal berdepan pasukan di ranking 102 dunia, India pada 13 Oktober 2023.

Para penyokong masih boleh mendapatkan tiket tersebut secara dalam talian menerusi laman web www.tickethotline.com.my.

Harga tiket untuk setiap Hari Perlawanan tersebut ialah RM40 (dewasa) dan RM5 (kanak-kanak 6 hingga 12 tahun) bagi Kategori Terbuka, RM60 bagi Kategori Grandstand dan RM80 bagi Kategori Premium.

Satu tiket boleh menonton dua perlawanan pada hari yang sama bermula pada pukul 4.30 petang. Semua perlawanan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

Pestabola Merdeka dijadikan sebagai medan persediaan untuk skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan-gon yang bakal beraksi dalam temasya Piala Asia 2023 di Qatar tahun depan.

Ia merupakan kejohanan bola sepak jemputan tertua di Asia yang diadakan dengan tujuan untuk meraikan ulang tahun kemerdekaan Malaysia.

Dua pasukan yang menang akan mara ke final manakala pasukan yang kalah bermain dalam perlawanan penentuan tempat ketiga pada 17 Oktober 2023 di SNBJ.

Malaysia kini dalam prestasi terbaik selepas mengikat Syria 2-2 dan China 1-1 pada aksi persahabatan antarabangsa minggu lepas.

Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman meluahkan harapan mahu melihat segenap tempat duduk di SNBJ dibanjiri penyokong negara.

“Sudah tentu keputusan positif di China itu akan membawa impak yang baik kepada kehadiran penyokong kita ke stadium nanti.

“Saya harap stadium dapat dibanjiri dan sama-sama kita beri sokongan padu kepada skuad negara di Pestabola Merdeka nanti,” katanya.