Pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) berkenan menyempurnakan simbolik perasmian padang baharu di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) hari ini.

Kos penanaman rumput jenis Zeon Zoysia itu ditaja oleh baginda dengan Kementerian Belia dan Sukan turut membelanjakan 4.7 juta ringgit lagi untuk kerja-kerja berkaitan.

Tajaan baginda adalah sebagai hadiah kepada bola sepak Malaysia selepas saban tahun pengendali stadium menghadapi masalah berkaitan kualiti rumput.

Sebelum penajaan tersebut, TMJ telah meminjamkan sebuah kanvas dari Stadium Larkin kepada Stadium Nasional untuk menjaga dan melindungi padang Bukit Jalil daripada hujan lebat menjelang perlawanan penting Harimau Malaya dan perlawanan-perlawanan akhir kejohanan Piala.

TMJ sentiasa menekankan keperluan padang dan kemudahan bola sepak yang berkualiti untuk memartabatkan bola sepak Malaysia, dan itu adalah antara asas kepada kebangkitan JDT untuk menjadi kelab bola sepak terkemuka di Asia Tenggara.

Baginda juga menggesa semua stadium bola sepak di negara ini untuk meletakkan kepentingan yang sama bagi meningkatkan taraf sukan tersebut di seluruh negara.

Rumput zeon zoysia turut digunakan di gelanggang rasmi JDT iaitu Stadium Sultan Ibrahim, yang diiktiraf sebagai padang terbaik di negara ini sejak stadium ikonik tersebut dibuka pada tahun 2020.

TMJ sebelum ini telah meninjau keadaan padang terdahulu di Bukit Jalil pada 2022 dan menghadiri majlis pecah tanah padang zeon zoysia baharu pada Mac 2023.

Padang baharu ini akan digunakan buat kali pertama apabila Malaysia menentang India dalam pertandingan Pestabola Merdeka 2023 esok.