Padang baharu yang menggunakan rumput jenis Zeon Zoysia di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) nampaknya sudah hampir siap sepenuhnya sejak proses penanaman bermula pada bulan Ogos lepas.

Baca Juga:

SNBJ kini antara 4 buah stadium utama di Asia Tenggara yang menggunakan rumput jenis Zeon Zoysia selain Stadium Nasional Singapura, Stadium Utama Gelora Bung Karno serta Stadium JDT, Stadium Sultan Ibrahim.

Menerusi perkembangan yang dikongsikan melalui laman instagram story Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Datuk Hans Isaac, keadaan padang kelihatan padat menghijau dan dijaga rapi walaupun terdapat penganjuran sukan olahraga peringkat sekolah di sekelilingnya.

Situasi itu sekaligus melegakan peminat bola sepak tempatan yang melahirkan kebimbangan andai keadaan padang belum bersedia untuk perlawanan antarabangsa.

Namun, pihak Perbadanan Stadium Malaysia juga mempunyai pelan B andai rumput tersebut perlu diganti dengan kadar segara.

“Buat pertama kali, Perbadanan Stadium Malaysia mengambil langkah progresif dengan menempatkan 1 kawasan rumput simpanan sebagai persediaan awal seandainya rumput di Stadium Nasional memerlukan gantian segera.

“Pelbagai faktor perlu diambil kira dan dijaga rapi dalam memastikan kualiti rumput di tahap yg baik. Justeru itu, diharap inisiatif ini mampu memberi solusi terhadap isu berkaitan,” kata Hans Isaac.

Padang rumput tersebut dijangka sudah bersedia sepenuhnya menjelang aksi Pestabola Merdeka 2023 yang bermula pada 13 Oktober ini.

Ianya bakal membantu skuad Harimau Malaya mempamerkan aksi yang lebih baik berbanding ketika bermain di atas rumput jenis ‘Cowgrass’.

Difahamkan proses penggantian rumput ini menelan kos berjumlah RM2.3 juta dan ditaja oleh TMJ sebagai sumbangan kepada bola sepak Malaysia.

Rumput lembu atau jenis ‘Cowgrass’ tidak lagi sesuai digunakan untuk aksi bola sepak antarabangsa. Ia mempunyai akar yang pendek dan daun besar serta lembut sekaligus menyebabkan bola melantun setiap kali melakukan hantaran.

Penggunaan rumput ini pernah dikritik oleh ketua jurulatih UAE, Bert Van Marwijk ketika aksi Kelayakan Piala Dunia 2022 tahun lalu. Beliau menyifatkan rumput jenis ini terlalu tebal dan menyukarkan pemainnya untuk membuat hantaran dengan lancar.