Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Datuk Hans Isaac mengesahkan pihaknya akan membawa masuk teknologi lampu rumput (grass light) bagi memastikan padang baharu di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) berada di tahap terbaik.

Beliau berkata demikian kerana faktor infrastruktur stadium iaitu berbumbung menutupi ruang padang sehingga menghalang kemasukan cahaya matahari.

“Bentuk bumbung (dome) stadium menutup cahaya matahari. Jadi, kami harus membeli ‘grass light’ (lampu rumput) dari Eropah dan bawa masuk ke SNBJ untuk memastikan rumput ini ke tahap antarabangsa,” jelas Hans Isaac kepada pihak media.

Bagaimanapun, Hans Isaac berkata pihaknya tidak boleh dedahkan keadaan padang yang menggunakan rumput jenis Zeon Zoysia itu untuk memberi penghormatan kepada Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) dalam majlis pelancaran rasmi esok.

Difahamkan proses penggantian rumput ini menelan kos berjumlah RM2.3 juta dan ditaja oleh TMJ sebagai sumbangan kepada bola sepak Malaysia.

TMJ
FOTO: Muhammad Izzudin Abd Radzak | BERNAMA

“Saya tak boleh beritahu banyak sangat kerana pelancarannya pada 12 Oktober ini, TMJ sendiri akan lancarkan inisiatif baginda itu, dan turut akan dihadiri oleh YB Menteri, Hannah Yeoh.

“Sudah tentu saya tunggu titah TMJ untuk memberi kata-kata serta pandangan beliau dan berharap YB Menteri dan TMJ gembira dengan hasil yang dilaksanakan,” jelas Hans Isaac.

PSM juga berusaha memastikan padang rumput tersebut  bersedia sepenuhnya menjelang aksi Pestabola Merdeka 2023 yang bermula pada 13 Oktober ini.

Ianya bakal membantu skuad Harimau Malaya mempamerkan aksi yang lebih baik berbanding ketika bermain di atas rumput jenis ‘Cowgrass’.

“Buat kali pertama dalam sejarah PSM kami ada dua padang, satu saiz yang sama seperti SNBJ dibina di luar dan juga padang baharu Zeon Zoysia.

“Kami tak sabar untuk perlawanan Harimau Malaya menentang India pada 13 haribulan ini, mereka akan jadi pasukan pertama yang menggunakan rumput ini,” tambah Hans Isaac.

Bukan sahaja menggunakan rumput baharu, malah proses naik taraf turut dilakukan di bahagian lain termasuk tempat solat dan tandas.