Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) dalam satu kenyataan mengesahkan keadaan padang di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) sedia digunakan untuk aksi Kelayakan Piala Dunia 2026 minggu depan.
Baca Juga:
- Teknologi ‘Grass Light’ Digunakan Jaga Padang Baharu SNBJ
- Bendera Negara Lain Tidak Dibenarkan Masuk Ke SNBJ
- TMJ Berikan Komen Mengenai Padang Baharu SNBJ
Sebelum ini, padang baharu yang menggunakan rumput jenis Zeon Zoysia hasil sumbangan Tunku Ismail (TMJ) itu rosak teruk dan mendapat kritikan hebat ketika saingan Pestabola Merdeka 2023 bulan lepas.
Namun begitu, PSM memberi jaminan keadaan padang akan jadi bertambah lebih baik berdasarkan pandangan daripada kontraktor rumput dan lawatan wakil FAM.
“Setelah mengambil kira pandangan kontraktor rumput dan FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) melalui lawatan tapak bersama dan keadaan padang adalah lebih baik daripada dua perlawanan sebelum ini.
“Keadaan padang itu sesuai untuk digunakan (playable), maklum balas ini dipersembahkan oleh Menteri Belia dan Sukan kepada Tunku Mahkota Johor.
“PSM menjunjung kasih atas perkenan yang diberikan (Tunku Ismail) untuk perlawanan pada 16 November diteruskan di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
“PSM akan kekal komited untuk memastikan padang Stadium Nasional berada dalam keadaan terbaik untuk pasukan Harimau Malaya dan terus bekerjasama dengan pihak kontraktor padang bagi mengambil langkah yang sewajarnya,” jelas PSM.
Skuad Harimau Malaya akan memulakan aksi pertama Kumpulan D kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Kyrgyzstan pada 16 November di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
Selepas aksi bertemu Kyrgyzstan itu, skuad kendalian Kim Pan Gonitu akan terbang ke Taipei City untuk perlawanan kedua Kumpulan D menentang Taiwan pada 21 November 2023.