Lebih 30,000 penyokong bola sepak tempatan dijangka akan membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) malam esok bagi menyaksikan perlawanan Pestabola Merdeka 2023 antara Malaysia menentang India.

Perkembangan itu turut disahkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) apabila mereka mengumumkan sebanyak 30,495 tiket telah terjual sejak jualan dibuka pada bulan Ogos lalu.

Lautan penyokong seramai 80,000 ditagih bagi menyemarakkan semangat pemain Harimau Malaya yang bakal berdepan pasukan di ranking 102 dunia itu.

Para penyokong masih boleh mendapatkan tiket tersebut secara dalam talian menerusi laman web www.tickethotline.com.my.

Harga tiket untuk Hari Perlawanan ialah RM40 (dewasa) dan RM5 (kanak-kanak 6 hingga 12 tahun) bagi Kategori Terbuka, RM60 bagi Kategori Grandstand dan RM80 bagi Kategori Premium.

Pestabola Merdeka dijadikan sebagai medan persediaan untuk skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan-gon yang bakal beraksi dalam temasya Piala Asia 2023 di Qatar tahun depan.

Ia merupakan kejohanan bola sepak jemputan tertua di Asia yang diadakan dengan tujuan untuk meraikan ulang tahun kemerdekaan Malaysia.

Pasukan yang menang akan mara ke final menentang Tajikistan dalam perlawanan akhir pada 17 Oktober 2023 di SNBJ. Format kejohanan ini masih kekal walaupun Palestin mengesahkan penarikan diri.

Kejayaan skuad Harimau Malaya mengikat Syria 2-2 dan China 1-1 pada aksi persahabatan antarabangsa minggu lepas antara faktor utama yang mampu menarik kehadiran ramai penyokong ke SNBJ bagi memberikan sokongan padu.