Rekrut baharu Paris Saint-Germain (PSG), Georginio Wijnaldum tanpa berselindung menyimpan hajat besar untuk melihat pemain tengah Manchester United, Paul Pogba menyertai kelab gergasi Perancis itu.

Setiap kali jendela perpindahan dibuka, nama Pogba akan sentiasa dikaitkan dengan kelab-kelab ternama di Eropah dimana ketika ini beliau masih belum lagi memeterai kontrak lanjutan bersama United.

Sehubungan dengan itu, Wijnaldum yang menyertai PSG secara percuma dengan berbesar hati mengalu-alukan kehadiran Pogba untuk bergandingan dengannya.

“Saya ingin melihat Pogba bersama dengan kami,” ujar Wijnaldum menurut laporan yang dikeluarkan Goal.

“Dia seorang pemain yang luar biasa. Saya pernah beberapa kali beraksi menentangnya dan dia sememangnya pemain yang hebat.”

“Sekiranya anda bertanyakan kepada mana-mana pemain dari pasukan lain jika dia mahu melihat Pogba menyertai pasukan mereka, semua orang akan mengatakan ya kerana dia pemain yang luar biasa, penuh dengan kualiti.”

“Dia memiliki segala [kualiti], salah seorang pemain tengah terbaik di dunia,” tambah Wijnaldum lagi.

Menurut laporan Goal, PSG bersedia untuk memberikan tawaran bernilai £50 juta untuk membawa pemain tengah berusia 28 tahun itu ke Parc des Princes setelah beliau sebelum ini sering dikaitkan dengan Real Madrid dan kelab lamanya, Juventus.

Kembali menyertai Manchester United pada musim 2016/17, Pogba berjaya menjulang trofi Liga Europa dan Piala Carabao. Selain itu, beliau telah membuat 199 penampilan dengan menjaringkan 38 gol dan 45 bantuan jaringan dalam semua pertandingan disertai Manchester United.

Baca artikel lain mengenai Wijnaldum dan Pogba:

Pochettino Jadi Punca Wijnaldum Pilih PSG Berbanding Barcelona

PSG Mahu Pogba, Man United Sudah Sediakan Penggantinya

United Sedia Tawar Kontrak Baharu, Raiola Mahu Pastikan Pogba Dapat £400K Seminggu

 

 

Sumber