Rekrut baharu Paris Saint-Germain (PSG), Georginio Wijnaldum tanpa berselindung mengakui pengurus pasukan, Mauricio Pochettino menjadi antara sebab yang membuatkannya memilih untuk menyertai gergasi Perancis itu berbanding Barcelona.
Pemain tengah kelahiran Rotterdam, Belanda itu pada mulanya dikatakan semakin hampir berhijrah ke Barcelona tetapi sebaliknya telah diumumkan sebagai pemain baharu PSG secara percuma.
Memetik sumber dikeluarkan Goal, Pochettino secara peribadi telah menghubungi Wijnaldum untuk memujuknya menyertai kelab finalis Liga Juara-Juara Eropah (UCL) 2019/20 itu.
“Saya gembira untuk menyertai sebuah kelab seperti Paris Saint-Germain. Sememangnya ia merupakan kelab yang dibarisi pemain-pemain yang sangat baik.”
“PSG juga memiliki pengurus yang baik dan pernah bercakap dengan saya sebelum saya menyertai kelab ini. Kami telah mengenali antara satu sama lain beberapa tahun lalu,” ujar Wijnaldum menurut laporan Goal.
“Sebagai pemain profesional, anda sentiasa mahu bermain dengan pemain-pemain terbaik di sekeliling anda dan apabila saya melihat kepada kelab ini dan juga kepada pengurus [merujuk kepada Pochettino], saya melihat kelab ini dipenuhi dengan pemain berbakat dan berkelas dunia.”
“Saya juga melihat pengurus boleh membuatkan pemainnya menjadi lebih baik dan juga mampu menyatukan kesemua pemain untuk menjadikan kami pasukan yang kuat.”
“Saya ke sini untuk mencuba melakar sejarah bersama kelab yang luar biasa ini,” tambah Wijnaldum lagi.
Sepanjang lima musim bersama Liverpool, Wijnaldum berjaya menjaringkan 22 gol dan mencipta 16 bantuan jaringan. Kejayaan manis bersama The Reds sudah pasti kejayaan menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah 2018/19 dan Liga Perdana Inggeris 2019/20.
Baca artikel lain mengenai PSG dan Pochettino:
TERKINI: PSG Cantas Barcelona Lagi Dapatkan Donnarumma Dengan Tawaran Gaji Lebih Tinggi