Bekas Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Redzuan Sheikh Ahmad menyifatkan tindakan Malaysian Football League (MFL) menarik balik tuntutan saman terhadap Telekom Malaysia (TM) adalah satu langkah yang betul demi menjaga keharmonian senario bola sepak tempatan.

Lebih tepat, Redzuan menegaskan bahawa hubungan utuh secara diplomatik dan silaturahim di antara pengendali Liga Malaysia dan syarikat telekomunikasi gergasi itu haruslah berada dalam keadaan terbaik bagi terus memacu perjalanan bola sepak negara.

Justeru, Redzuan optimis MFL dan TM dapat mencari mekanisme terbaik untuk mengangkat kualiti Liga Malaysia selain berharap mana-mana pihak tidak cuba mensensasikan tindakan MFL yang sebelum ini mengambil tindakan undang-undang terhadap TM.

MFL

“Buang yang keruh dan ambillah yang jernih. Sejujurnya saya tidak tahu apa konflik yang berlaku di antara MFL dan TM.

“Saya tidak tahu berapa banyak (jumlah) tajaan, berapa lama perjanjian dan sebagainya tetapi apa yang saya dapat katakan mereka (MFL) telah mengambil tindakan yang betul (dengan menarik balik tuntutan saman).

“Hubungan di antara (MFL selaku) pengendali Liga Malaysia dan penaja (TM) sebenarnya sudah lama terjalin dengan baik. Kita sudah pasti tidak mahu mendengar perkara buruk melibatkan liga tempatan.

“Jadi dengan perkhabaran seperti ini (MFL menarik balik tuntutan saman) adalah satu perkara positif dan mengembirakan buat penyokong bola sepak tempatan,” ujarnya.

Terdahulu, MFL telah mengumumkan pihaknya telah menarik balik tuntutan saman terhadap TM berhubung isu pembayaran hak penyiaran Liga Malaysia bagi musim 2019.

MFL dalam satu kenyataan rasmi semalam memberitahu pihaknya telah membuat keputusan menarik balik tuntutan saman melalui notis pemberhentian yang difailkan di Mahkamah Tinggi pada 21 Mac lalu itu dibuat menerusi persetujuan bersama Ahli Lembaga Pengarah MFL dalam satu mesyuarat baru-baru ini.

Presiden MFL, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin menyatakan bahawa tindakan menarik balik saman terhadap TM berkaitan pembayaran hak penyiaran membuktikan semangat kesukanan tinggi yang terjalin di antara pengendali Liga Malaysia dengan syarikat gergasi telekomunikasi negara itu.

Sebagai rekod, TM telah bersama dengan MFL pada 2015 ketika itu dikenali sebagai Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) dan menjadi penaja Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sejak 2000.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia di sini:

Bayaran Kedua Hak Penyiaran Liga Malaysia Akan Dilunaskan Pada Bulan November

Taylor Regan: Liga Malaysia ‘Lebih Mencabar’ Jika Dibandingkan Dengan Liga Australia

10 Jurulatih Liga Malaysia Bawa Pulang Ilmu Bola Sepak Dari Jepun