Kebiasaannya seorang presiden akan dipuji kerana skuad kebangsaannya muncul juara Piala Dunia, tetapi nasib berbeza dialami Presiden Persekutuan Bolasepak Diraja Sepanyol (RFEF), Luis Rubiales.

Baca Juga:

Hal ini kerana Rubiales dilaporkan terpaksa meletakkan jawatan ekoran ketelanjurannya mencium pemain Sepanyol, Jennifer Hermoso ketika majlis penyampaian hadiah Piala Dunia Wanita 2023, tempoh hari.

Tekanan itu tetap diberikan meskipun Rubiales sebelum ini telah membuat permohonan maaf terhadap kekhilafan yang dilakukannya itu.

Sepanyol muncul juara Piala Dunia Wanita buat pertama kali selepas menewaskan England 1-0 pada aksi final hasil jaringan tunggal ketua pasukan, Olga Carmona.

Mungkin kerana terlalu gembira dengan kejayaan tersebut, Rubiales memeluk sambil mencium pipi serta bibir Hermoso yang jelas telah menimbulkan kontroversi semua pihak terutamanya di negara tersebut.

Luis Rubiales (baju hitam) bersama skuad wanita Sepanyol. Kredit Foto: Selección Española Femenina de Fútbol

Malah menurut laporan Goal, Hermoso juga dikatakan tidak selesa dengan perkara tersebut sehingga menyebabkan banyak tekanan diberikan supaya Rubiales meletakkan jawatan.

Malah bekas pemain skuad kebangsaan, Isco turut menyatakan sokongan penuhnya terhadap pemain tengah itu.

“Jika ia [ciuman itu] tidak dipersetujui, saya fikir ia adalah satu penyalahgunaan kuasa. Saya memberikan sokongan penuh saya kepada Jenni.”

Pengurus Real Madrid, Carlo Ancelotti juga berpendapat bahawa apa yang telah ditunjukkan oleh Rubiales sebagai bukan sikap bagi seorang presiden.

Selain itu Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez turut berpendapat sama dengan yang lain kerana beliau turut presiden RFEF tersebut bertanggungjawab dan melepaskan jawatannya dengan serta-merta.

 

Sumber