Pemain bola sepak wanita negara, Intan Serah Anisah Zulgafli  berdepan dugaan pertama sebaik tiba di Amerika Syarikat (AS) apabila telefon bimbitnya didapati telah hilang ketika dalam perjalanan.

Intan berada di AS bagi menyertai kelab New York Dutch Lions FC yang beraksi dalam saingan Women Premier Soccer League (WPSL).

Menurut kenyataannya di laman instagram, telefom bimbit jenis Samsung Note 20 Ultra itu cukup penting kerana ia digunakan untuk urusan universiti dan kerjanya.

“Kali terakhir saya perasan telefon ada dalam kapal terbang ialah setengah jam sebelum mendarat. Kemudian saya kembali semula ke kapal terbang dari imigresen kerana saya baru sedar telefon itu tiada dalam poket atau beg.

“Sampai sahaja ke kapal terbang, staff tidak benarkan masuk dan mereka tolong carikan namun mereka beritahu tidak jumpa. Naluri saya kuat mengatakan telefon itu masih ada dalam kapal terbang,” jelas Intan menerusi Instagram Story.

Malah, beliau juga tidak tidur selama 24 jam selepas menempuh perjalanan jauh itu kerana perlu turun menjalani latihan sambil menyesuaikan diri sebelum perlawanan menentang Ospreys awal pagi ini (4 pagi waktu Malaysia).

“Mendarat saja telefon bimbit hilang, ‘then’ barai barai, itu saya ‘request’ nak berlatih dekat jurulatih. Sekurangnya saya dapat sesuaikan diri sebelum perlawanan esok.

“Saya cuba tahan mata sebab nak tidur waktu sini. Jadi saya barai sebarai barainya, 24 jam tak tidur. Cuma doakan saya jumpa telefon bimbit saya,” katanya.

Intan Serah sebelum ini menukar kariernya daripada pemain futsal profesional kepada pemain bola sepak profesional ketika bermain untuk pasukan Sukan SEA Malaysia 2023 yang lalu.

Kini dia melebarkan sayapnya ke luar negara bersama sama dengan pasukan yang berpangkalan di Amerika Syarikat.

Kelab itu menyatakan, urusan pengumuman rasmi Intan Serah itu agak lengah kerana pemain kebangsaan Malaysia itu perlu menyelesaikan isu dokumentasi di kedutaan Malaysia di Amerika Syarikat.

Ternyata NYDLFC teruja meraikan kedatangan Intan Serah ke dalam pasukan mereka. Rata rata peminat dari Malaysia mendoakan yang terbaik buat pemain wanita kebangsaan itu.

Selamat maju jaya kami ucapkan kepada Intan Serah.