1.5K Bola Sepak Wanita
June 15, 2023 - 2:00 pm

Penyerang skuad bola sepak wanita negara, Intan Serah Anisah Zulgafli membuat penampilan pertama bersama kelabnya, New York Dutch Lions (NYDL) FC awal pagi tadi.

Biarpun berdepan dugaan pertama apabila telefon bimbitnya didapati hilang sebaik sahaja tiba di Amerika Syarikat namun ia tidak menjadi penghalang kepadanya untuk beraksi selama 10 minit terakhir sebagai pemain gantian.

Dalam perlawanan itu, NYDL mengutip 1 mata selepas mencatat keputusan seri menentang SUSA FC.

Kemunculan Intan bermakna beliau merupakan pemain Malaysia yang pertama beraksi dalam saingan Women Premier Soccer League (WPSL) di Amerika Syarikat.

Sebelum itu, beliau tidak tidur selama 24 jam selepas menempuh perjalanan jauh kerana perlu turun menjalani latihan sambil menyesuaikan diri sebelum perlawanan tersebut.

Intan Serah sebelum ini menukar kariernya daripada pemain futsal profesional kepada pemain bola sepak profesional ketika bermain untuk pasukan Sukan SEA Malaysia 2023 yang lalu.

Kini dia melebarkan sayapnya ke luar negara untuk memenuhi impiannya sekaligus memberi inspirasi kepada pemain wanita yang lain.

Kelab itu menyatakan, urusan pengumuman rasmi Intan Serah itu agak lengah kerana pemain kebangsaan Malaysia itu perlu menyelesaikan isu dokumentasi di kedutaan Malaysia di Amerika Syarikat.

Ternyata NYDLFC teruja meraikan kedatangan Intan Serah ke dalam pasukan mereka. Rata rata peminat dari Malaysia mendoakan yang terbaik buat pemain wanita kebangsaan itu.

Selamat maju jaya kami ucapkan kepada Intan Serah.