Nasib berbeza dialami dua wakil negara, Lee Zii Jia dan Ng Tze Yong dalam acara perseorangan lelaki dalam kejohanan badminton Terbuka Perancis 2023 yang berlangsung di Glaz Arena, Rennes sebentar tadi.
Zii Jia yang beraksi pemain pilihan kelapan dari China, Li Shi Feng terpaksa menelan kepahitan tewas menerusi permainan ‘rubber set’.
Ia merupakan kekalahan ketiga Zii Jia ke atas pemain ranking kelima dunia itu dalam lima perlawanan melibatkan mereka.
Pemain perseorangan nombor satu negara itu bagaimanapun bermula dengan baik untuk mencuri set pertama hasil kemenangan 21-17.
Namun, kesilapan-kesilapan mudah dilakukan Zii Jia memberikan ruang luas buat Shi Feng untuk memenangi kedua dengan 21-11 dan kemudiannya 21-12 bagi mara ke suku akhir.
Tidak mahu menerima nasib yang sama, Ng Tze Yong tampil dengan baik untuk menewaskan pemain tuan rumah, Arnaud Merkle.
Meskipun diberikan saingan sengit pada set pertama, Tze Yong menyerap tekanan dengan baik untuk menang 21-19.
Kemenangan itu jelas meningkatkan lagi keyakinan Tze Yong yang tampil cukup garang sekali gus mudah mengesahkan kemenangan 21-8.
Menanti Tze Yong di suku akhir Terbuka Perancis 2023 ini ialah pemenang antara juara dunia, Kunlavut Vitidsarn yang sedang beraksi menentang Chou Tien Chen dari Chinese Taipei.
Sementara itu dalam acara beregu wanita, Vivian Hoo-Lim Chiew Sien tewas kepada pasangan Indonesia, Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti 8-21, 18-21.