Malaysia mengesahkan tempat ke suku akhir kejohanan badminton Piala Sudirman 2023 dengan lebih awal (masih berbaki satu perlawanan) selepas meraih kemenangan kedua pada aksi yang berlangsung di Suzhou, China sebentar tadi.
Lebih manis, lawan yang ditewaskan pada aksi kedua kumpulan C itu ialah India sekali gus menghantar lawan tersebut pulang awal.
Ia sekali gus turut menebus kekecewaan skuad negara yang tewas bertemu lawan sama di peringkat kumpulan Kejohanan Badminton Bercampuran Asia pada Februari lalu.
Mata pertama kem negara dihadiahkan oleh pasangan beregu campuran, Gooh Soon Huat-Shevon Lai Jemie yang menundukkan Dhruv Kapila-Ashwini Ponnappa 21-16, 21-17.
Perseorangan lelaki utama negara, Lee Zii Jia kemudiannya tampil dengan baik untuk menewaskan Srikanth Kidambi menerusi ‘straight set’ 21-16 21-11 bagi melebarkan kedudukan.
Ketika Goh Jin Wei dilihat tidak diberikan harapan yang besar untuk mendapatkan mata, beliau mempamerkan permainan meyakinkan untuk menewaskan pemain nombor 12 dunia, Pusarla V. Sindhu.
Tewas 12-21 pada set pertama, anak kelahiran Bukit Mertajam itu tampil lebih baik dan bertenaga sehingga memaksa Sindhu melakukan kesilapan demi kesilapan.
Keadaan itu jelas memihak kepadanya sehingga berjaya menjarakkan mata dengan cukup jauh dan menang dengan 21-10.
Keadaan hampir serupa berlaku di set penentuan apabila Jin Wei meninggalkan lawan tersebut 11-2 pada rehat ‘interval’. Namun, Sindhu bagaikan tersentak daripada lamunan untuk bangkit mengejar mata 19-19.
Enggan melihat lawan tersebut meleburkan impiannya, Jin Wei tidak melepaskan peluang untuk menamatkan permainan 22-20 sekali gus memastikan kemenangan buat Malaysia.
Ia juga merupakan kemenangan sulung buat Jin Wei ke atas lawan tersebut dimana empat pertemuan terdahulu memihak pemain nombor satu India tersebut.
Oleh kerana saingan Piala Sudirman 2023 masih dalam peringkat kumpulan, ini bermakna Aaron Chia-Soh Wooi Yik serta Pearly Tan-M. Thinaah masih perlu turun beraksi meskipun Malaysia sudah mendahului 3-0.