Bekas pemain perseorangan lelaki nombor satu dunia, Roslin Hashim  tanpa berselindung mengakui dirinya tidak akan berhenti daripada terus memperjuangkan nasib badminton tanah air meskipun mendapat tentangan daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Kelantangan Roslin dalam menceritakan perkara sebenar tentang senario semasa badminton Malaysia menyaksikan BAM telah memfailkan saman terhadap beliau kerana badan induk badminton negara itu menganggap ia berunsur fitnah.

Antara yang mencuri perhatian ialah kenyataan dikeluarkan oleh Roslin di media sosial mengenai Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan, Datuk Ng Chin Chai.

Menurut kenyataan dikeluarkan Roslin menerusi satu ciapan di laman Twitter peribadinya, proses perbicaraan saman terhadap beliau akan bermula esok di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

“Perjuangan aku untuk badminton Malaysia takkan akan berhenti dekat sini. Tiada apa yang boleh menghentikan aku walaupun perbicaraan saman terhadap aku akan bermula pada 5, 6, 7, 11 dan 12 September ini.’’

“Aku taknak lagi tengok negara kita dimalukan. Aku akan berjuang habis-habisan,’’ tambah Roslin lagi.

Malah, sebelum ini juga beliau berulang kali telah memberikan bayangan bahawa terdapat parasit dalam persatuan yang dilihat menghancurkan masa depan badminton negara.

“Demi badminton. Aku bersuara sebab tak tahan lagi melihat badminton yg semakin tenat. Kenapa, setiap kali tiada pencapaian jurulatih dan pemain sahaja yang dikenakan tindakan.”

“Demi badminton. Aku bersuara sebab tak tahan lagi melihat badminton yg semakin tenat. Kenapa, setiap kali tiada pencapaian jurulatih dan pemain sahaja yang dikenakan tindakan.”

“Kepada rakan-rakan, aku mohon pada semua untuk doakan aku berjaya untuk hadap orang-orang yang merosakkan badminton. Aku tahu aku tiada apa-apa [kuasa dan wang ringgit],” ujar Roslin dalam satu kenyataan yang pernah dikeluarkannya pada Julai lalu.