Perjalanan Lee Zii Jia untuk ke peringkat suku akhir kejohanan Terbuka India 2023 terhenti selepas beliau tumpas pada aksi yang berlangsung di Indira Gandhi Arena, New Delhi sebentar tadi.
Pemain yang menghalang perjalanan Zii Jia pada kali ini ialah wakil dari China, Li Shi Feng apabila beliau tunduk 11-21, 21-14, 18-21 pada aksi yang berlangsung melebihi satu jam itu.
Segalanya tampak tidak begitu menjadi buat Zii Jia pada permulaan permainan apabila beliau seperti kehilangan fokus dengan kesilapan mudah dilakukan sehingga menyebabkannya ketinggalan 1-11.
Kesempatan berikutan kelebihan besar itu digunakan sepenuhnya oleh Shi Feng bagi memenangi set pertama meskipun Zii Jia cuba untuk mempamerkan kebangkitan.
Bagaikan sudah bangkit daripada lamunan ekoran kekalahan 11-21 itu, Lee Zii Jia tampil dengan lebih baik pada awal set kedua apabila tampil garang untuk menjarakkan mata.
Namun, skrip sama seperti set pertama berulang dimana hampir lima kali Zii Jia melakukan pukulan ke jaring sekali gus kelebihan yang pada mulanya dimiliki semakin dirapatkan oleh Shi Feng.
Keadaan tersebut bagaimanapun tidak menganggu rentak pemain perseorangan ranking kedua dunia itu untuk mencipta kemenangan pada set kedua dengan keputusan 21-14.
Aksi sengit dengan kedua-dua pemain saling kejar-mengejar mata pada set penentuan akhirnya menjadi milik Li Shi Feng selepas beliau mencatatkan kemenangan 21-18.
Tewas pada pusingan pertama di Terbuka Malaysia dan kini pusingan kedua menunjukkan bahawa terlalu banyak perkara yang perlu diperbaiki oleh Lee Zii Jia.