Pemain badminton nombor satu negara, Lee Zii Jia mengakui banyak kerja perlu dilakukan oleh beliau dalam usaha untuk mencapai sesuatu yang lebih baik dalam kejohanan-kejohanan seterusnya.

Artikel Berkaitan:

Beraksi hambar pada empat kejohanan sebelum ini (Terbuka Malaysia, Terbuka India, Indonesia Masters dan Terbuka Jerman), Zii Jia memberikan sedikit harapan buat peminat badminton negara apabila tampil dengan lebih baik pada kejohanan All England 2023.

Zii Jia berjaya melayakkan diri ke separuh akhir yang menyaksikan pemain China, Shi Yuqi mengagalkan impian pemain berusia 24 tahun itu daripada sekali lagi beraksi di pentas final.

Susulan dengan itu, Zii Jia turut mendedahkan beliau perlu bersabar dan menikmati segala suka duka sebagai proses pembelajaran buat dirinya.

“Birmingham sentiasa merupakan tempat istimewa buat saya, saya berada gembira dapat kembali lagi dalam arena (stadium) yang menakjubkan ini dan penonton yang hebat,’’ ujar Zii Jia menurut kenyataan di laman sosial peribadi miliknya.

“Malangnta saya menamatkan saingan All England pada tahun ini di separuh akhir tetapi ia merupakan satu perlawanan yang sangat baik menentang Shi Yu Qi.’’

“Tidak lupa juga saya untuk mengucapkan terima kasih kepada ‘perisai’ terkuat saya, TeamLZJ. Kami telah melakukan kerja yang hebat dalam beberapa bulan kebelakangan ini.’’

“Mari kita teruskan. Saya juga menghargai kepercayaan dan sokongan daripada penaja saya dan semua peminat.’’

“Pasti lebih banyak usaha untuk dilakukan oleh saya bagi penambahbaikan yang lebih baik. Saya akan terus bersabar dan menikmati setiap saat proses ini.’’

Pada akhir hantaran tersebut, Lee Zii Jia turut menaikkan tanda pagar kota Rome tidak dibina sehari serta tetap bersemangat.

Cabaran seterusnya buat beliau adalah kejohanan Terbuka Swiss yang akan bermula esok dan beliau akan berhadapan dengan juara All England, Li Shi Feng pada pusingan pertama.