Nasib berbeza dialami sandaran negara, Lee Zii Jia dan Aaron Chia-Soh Wooi Yik pada pusingan pertama Kejohanan Badminton Asia 2023 yang berlangsung di Dewan Tertutup, Sheikh Rashid Bin Hamdan, Dubai awal pagi tadi.
Baca Juga:
- Badminton Asia 2023: Tang Jie-Ee Wei Singkirkan Pilihan Ketujuh
- Rexy Mainaky, Nasihat Mendiang Bapa Dorong Karier Hebat Takluk Dunia Badminton
- Kenali 10 Jurulatih Badminton Dari Malaysia Yang Sedang Berkhidmat Di Luar Negara
Zii Jia yang merupakan juara bertahan terpaksa menelan kepahitan tunduk di tangan pemain ranking ke-17 dunia, Angus Ng Ka Long dengan ‘straight set’ 19-21, 16-21.
Ia merupakan rekod kemenangan ketiga berturut-turut wakil Hong Kong itu ke atas Zii Jia selepas Indonesia Masters 2023 dan Terbuka New Zealand 2019.
Satu-satunya kemenangan yang dilakarkan Zii Jia ke atas lawannya itu adalah pada pertembungan sulung mereka di Terbuka Jerman 2019.
Anak kelahiran Alor Setar, Kedah itu pada mulanya beraksi dengan baik untuk memimpin permainan dengan mendahului 13-9.
Bagaimanapun segalanya tidak menjadi selepas itu buat Zii Jia hingga membolehkan Ka Long menyamakan kedudukan dan seterusnya menang set pertama.
Aksi set kedua juga tidak kurang menariknya dengan Ng Ka Long sudah mendapatkan lebih keyakinan untuk mendapatkan kelebihan mata sehingga berjaya mengesahkan kemenangan dengan 21-16.
Hakikat yang perlu diterima Lee Zii Jia ialah kekalahan pada pusingan pertama ini akan terus memberikan tekanan kepadanya untuk tampil dengan lebih baik pada kejohanan akan datang.
Apatah lagi selepas ini harapan besar diletakkan pada bahunya dalam saingan Piala Sudirman dan Malaysia Masters pada Mei nanti.
Sementara itu, Aaron Chia-Soh Wooi Yik berjaya ‘membalas dendam’ selepas tewas kepada Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin pada kejohanan All England tempoh hari selepas menundukkan wakil Indonesia tersebut menerusi ‘rubber set’.
Kemenangan juara dunia 2022 itu bagaimanapun tidak hadir dengan muda apabila mereka tewas 19-21 pada set pertama dan kemudiannya menang juga dengan jurang dua mata itu.
Aksi di set penentuan juga cukup mendebarkan di mana gandingan Indonesia itu cuba bangkit ketika Aaron-Wooi Yik sudah berada di mata ke-19.
Namun, mereka kental bertahan untuk menang 22-20 sekali gus merupakan kemenangan kelima buat mereka dalam enam pertemuan menentang Carnando-Marthin.
Dengan keputusan pusingan pertama yang berakhir semalam, hanya lima wakil negara akan meneruskan perjuangan dimana Ng Tze Yong, S. Kisona, Goh Jin Wei, Vivian Hoo-Lim Chiew Sien, Ng Qi Xuan-Teoh Lee Xuan, Tan Kian Meng-Tan Wee Kiong, Chan Peng Soon-Cheah Yee See turut tersingkir awal.
Aaron-Wooi Yik akan berhadapan dengan juara Sukan Olimpik 2020, Lee Yang-Wang Chi-Lin, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi bakal membuat perhitungan dengan Ayato Endo-Yuta Takei manakala Man Wei Chong-Tee Kai Wun bertemu Takuro Hoki-Yugo Kobayashi.
Manakala dua lagi wakil menerusi beregu campuran yang menyaksikan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menentang Praveen Jordan-Melati Daeva Oktavianti serta Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie berdepan Cheng Xing-Chen Fang Hui.