Lee Zii Jia dan pasangan Aaron Chia-Soh Wooi Yik terus menggalas cabaran Malaysia di Terbuka Denmark 2023 selepas mara ke pentas final yang bakal berlangsung malam ini.
Baca Juga:
- Terbuka Denmark 2023: Tundukkan Ahsan-Hendra Setiawan, Aaron-Wooi Yik Ke Suku Akhir
- Terbuka Arctic 2023: 4 Wakil Negara Cemerlang Ke Separuh Akhir
- Zii Jia Dedikasikan Kejuaraan Terbuka Arctic Buat Peminat
Kemaraan dua wakil tersebut meneruskan kesinambungan daripada kecemerlangan pemain senior negara sebaik sahaja berakhirnya Sukan Asia 2023 di Hangzhou.
Zii Jia berjaya menamatkan penantian panjang dengan menjuarai Terbuka Arctic di Finland sehingga menyaksikan rankingnya meningkat ke kedudukan ke-11.
Manakala, Ng Tze Yong dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun pula muncul naib juara kejohanan sama serta pingat gangsa dimenangi Aaron dan Wooi Yik dalam Sukan Asia.
Berdepan Lee Cheuk Yiu yang masih belum pernah ditewaskannya dalam dua pertemuan terakhir, Zii Jia kelihatan tidak terlalu berdepan masalah untuk menundukkan lawan dari Hong Kong tersebut.
Ia berikutan kemenangan ‘straight set’ yang dilakarkannya 21-15, 21-17 untuk beliau menempah pertemuan menentang pemain China, Weng Hong Yang.
Berdasarkan rekod pertemuan melibatkan kedua-dua pemain, Lee Zii Jia menang satu perlawanan manakala dua lagi aksi memihak Hong Yang.
Sementara itu, Aaron dan Wooi Yik terlebih dahulu mengesahkan tempat ke perlawanan akhir setelah mengecewakan pasangan tuan rumah, Kim Astrup-Anders Rasmussen 16-21, 21-15, 21-15.
Menanti bekas juara dunia itu esok ialah Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana yang mana Aaron Chia-Soh Wooi Yik tidak pernah tewas bertemu lawan tersebut pada tiga perlawanan sebelum ini.
Kejohanan Terbuka Denmark merupakan saingan berstatus Super 750 dalam kalender Persekutuan Badminton Dunia (BWF).