Nasib berbeza dialami oleh dua sandaran utama kem badminton negara iaitu Lee Zii Jia dan Aaron Chia-Soh Wooi Yik dalam saingan All England 2023 yang berlangsung di Birmingham, England.
Zii Jia yang merupakan juara edisi 2021 tidak terlalu berdepan masalah untuk menundukkan lawan dari Thailand, Sitthikom Thammasin dengan kemenangan ‘straight set’ 21-12, 21-15.
Kemenangan penting yang dilakarkan pemain ranking keempat dunia dilihat dapat meningkatkan moral beliau selepas dikritik hebat ekoran prestasi hambar pada empat kejohanan lalu.
Menanti Zii Jia di pusingan kedua ialah wakil dari Jepun, Kenta Nishimoto yang berjaya menundukkan Brian Yang juga dengan kemenangan ‘straight set’.
Sementara itu, kelebihan rekod perlawanan 4-0 yang dimiliki jelas bukan menjadi jaminan buat Aaron dan Wooi Yik apabila mereka tunduk ditangan pasangan Indonesia, Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin 18-21, 21-14, 13-21.
Dua lagi wakil negara yang beraksi awal pagi tadi, Liew Daren dan Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie tewas kepada lawan masing-masing .
Dengan berakhirnya pusingan pertama, hanya empat daripada 11 wakil negara yang bertanding di pentas All England 2023 meneruskan kemaraan ke pusingan kedua membabitkan Lee Zii Jia, Ng Tze Yong, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing.
Tze Yong akan bertemu Viktor Axelsen, Yew Sin-Ee Yi berhadapan dengan Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana dan Kian Meng-Pei Jing bakal menghadapi cabaran Yuki Kaneko-Misaki Matsutomo.