Gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik akhirnya berjaya menamatkan penantian yang cukup panjang selama enam tahun untuk meraih kejuaraan sulung dalam kejohanan siri Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas mengungguli Terbuka Denmark 2023, sebentar tadi.
Baca Juga:
- Terbuka Denmark 2023: Zii Jia, Aaron-Wooi Yik Galas Harapan Malaysia Di Final
- Terbuka Denmark 2023: Tundukkan Ahsan-Hendra Setiawan, Aaron-Wooi Yik Ke Suku Akhir
Lawan yang ditewaskan pada aksi final penuh bermakna buat mereka itu ialah Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana dari Indonesia menerusi kemenangan ‘straight set’.
Enggan gagal buat kali ketujuh dalam pemburuan merebut kejuaraan, pasangan negara itu tampil dengan cukup baik terutamanya pada permulaan set pertama.
Ia jelas dibuktikan apabila mereka memimpin perlawanan dengan kelebihan lima mata untuk mendahului lawan di ranking ke-14 dunia itu dengan 11-6.
Kecemerlangan itu diteruskan selepas rehat ‘interval’ walaupun Shohibul-Maulana cuba untuk memberikan sedikit tekanan untuk menghadiahkan kemenangan set pertama buat Aaron-Wooi Yik 21-13.
Set kedua juga turut memperlihatkan aksi bertenaga dan cukup agresif ditampilkan bekas juara dunia itu hingga menyebabkan lawan mereka melakukan kesilapan mudah.
Kesempatan tersebut digunakan sepenuhnya pasangan beregu utama negara itu untuk memastikan kejuaraan sulung siri Jelajah Dunia BWF menjadi milik mereka dengan kemenangan 21-17.
Dengan kejayaan bersejarah itu, Aaron Chia-Soh Wooi Yik membawa pulang wang tunai bernilai $62,900.
Kali terakhir wakil negara menjuarai kategori beregu lelaki dalam Terbuka Denmark ialah pada tahun 2016 yang menyaksikan Goh V Shem-Tan Wee Kiong menewaskan pasangan tuan rumah, Mathias Boe-Carsten Mogensen.
Malah, itu juga merupakan kali terakhir pemain Malaysia meraih kejuaraan dalam kejohanan tersebut.