Dua pemain perseorangan utama negara, Lee Zii Jia dan Ng Tze Yong berjaya meneruskan perjalanan ke suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka Australia 2023 yang berlangsung di Sydney, sebentar tadi.

Baca Juga:

Selepas empat wakil awal dalam acara beregu lelaki (Ong Yew Sin-Teo Ee Yi) dan beregu campuran (Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie dan Hoo Pang Ron-Teoh Mei Xing) tewas ke atas lawan masing-masing pada sesi pagi, Ng Tze Yong menghadirkan ceria buat kem negara dengan aksi menarik ditampilkan untuk mengejutkan pemain ranking kelima dunia, Jonathan Christie.

Reputasi hebat dimiliki pemain Indonesia itu tidak langsung menggentarkan Tze Yong untuk beliau memenangi set pertama dengan keputusan 22-20.

Keyakinan semakin terpancar di wajah Ng Tze Yong memasuki set kedua dimana beliau dengan tenang memimpin perlawanan sekali gus mengesahkan kemenangan 21-15.

Seperti kebiasaan aksi lebih mendebarkan sekiranya perlawanan melibatkan Lee Zii Jia apabila beliau terpaksa beraksi hingga ke set penentuan ketika menentang Mithun Manjunath dari India.

Zii Jia yang gagal melepasi pusingan pertama dalam empat kejohanan berturut-turut itu menang set pertama dengan selesa 21-13.

Namun segalanya seperti tidak kena buat pemain ranking ke-17 dunia itu yang terpaksa melepaskan set kedua 12-21 sehingga pemenang ditentukan hingga ke set ketiga.

Aksi kemudiannya berlangsung dengan kejar-mengejar mata dan Lee Zii Jia akhirnya menyerap tekanan dengan baik untuk memastikan kemaraan ke suku akhir dengan kemenangan 21-19.

Dengan kemenangan itu juga menyaksikan Malaysia sudah pasti mempunyai wakil di separuh akhir pada Sabtu nanti apabila Lee Zii Jia dan Ng Tze Yong akan bertemu sesama sendiri esok.