Pemain perseorangan nombor dua negara, Ng Tze Yong turut mengikuti jejak langkah Lee Zii Jia ke pusingan kedua Kejohanan Badminton Dunia 2023 selepas menundukkan Zhao Jun Peng sebentar tadi.

Baca Juga:

Perlawanan yang berlangsung selama 47 minit di Royal Arena Copenhagen, Denmark itu menyaksikan Ng Tze Yong tidak diberikan laluan mudah oleh wakil dari China tersebut.

Meskipun berada di ranking lebih rendah berbanding Tze Yong, Jun Peng hadir selaku semi finalis edisi lalu serta turut pernah bergelar naib juara kejohanan berstatus Super 1000 iaitu Terbuka Indonesia 2022.

Tze Yong pada mulanya kelihatan selesa memimpin permainan dengan kelebihan 11-7 pada rehat ‘interval’, namun Jun Peng membuktikan beliau cukup liat untuk dikalahkan setelah bangkit untuk mengikat kedudukan 18-18.

Namun, sedikit kesilapan oleh Jun Peng menyaksikan Tze Yong memenangi set pertama dengan jurang 21-19.

Skrip yang hampir serupa dapat disaksikan pada set kedua apabila kelebihan dimiliki Tze Yong dipadamkan oleh Jun Peng hingga perlawanan diheret ke penentuan ‘deuce’.

Aksi kejar-mengejar mata itu akhirnya memihak Ng Tze Yong yang mempamerkan kekuatan mental di tahap terbaik untuk menang 26-24.

Ia merupakan kemenangan pada pertemuan sulung melibatkan Ng Tze Yong dan Zhao Jun Peng di pentas pertandingan antarabangsa.

Tze Yong akan bertemu pemenang antara Misha Zilberman dan Anders Antonsen di pusingan kedua pada Rabu ini dan sekiranya melepasi cabaran tersebut, beliau berpeluang cerah untuk berhadapan Lee Zii Jia di pusingan ketiga.

Zii Jia pula seperti dilaporkan sebelum ini akan menentang pemain Kanada, Brian Yang.