Legenda badminton negara, Datuk Wira Lee Chong Wei memuji sikap positif yang ditampilkan oleh juara dunia baharu dari Thailand, Kunlavut Vitidsarn.

Baca Juga:

Pemain berusia 22 tahun itu mencipta sensasi selepas menewaskan wakil Jepun, Kodai Naraoka 19-21, 21-18, 21-7 untuk melakar sejarah menjadi pemain pertama dari Thailand muncul juara dunia acara perseorangan lelaki.

Meskipun berlainan zaman dan tidak pernah beraksi sesama sendiri, peluang bersemuka pada bulan lalu sudah cukup buat Lee Chong Wei untuk menilai keperibadian pemain muda itu.

“Dia [merujuk kepada Kunlavut Vitidsarn] seorang yang sangat merendah diri, begitu sopan dan sentiasa bersedia untuk belajar.”

“Dengan sikap seperti itu, tidak hairanlah dia kini bergelar juara dunia,” ujar Chong Wei menurut sumber laporan New Straits Times.

“Saya bertemu dengannya di Kanada untuk acara Yonex [Legends Vision] pada bulan lalu dan dapat berbual mesra dengannya.”

“Saya berharap dapat melihat pemain Malaysia kita mengikuti jejak langkahnya. Belajar untuk merendah diri seperti Kunlavut,” tambah Chong Wei lagi.

Rasa hormat yang terlalu tinggi pemain ranking keempat dunia itu terhadap Datuk Lee Chong Wei memang tidak dapat dinafikan kerana Kunlavut turut menjadikan legenda negara tersebut sebagai idola dalam kariernya.

Sebelum ini, Kunlavut dilihat merupakan prospek besar untuk menjadi antara pemain yang akan menonjol di pentas antarabangsa selepas kejayaannya muncul juara dunia remaja bagi tiga edisi berturut-turut [2017 hingga 2019].