Hasrat untuk melihat gandingan Pearly Tan-M. Thinaah dan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei untuk melakar sejarah peribadi mara ke separuh akhir Kejohanan Badminton Dunia 2023 tidak kesempaian apabila mereka tewas ditangan lawan masing-masing, sebentar tadi.
Baca Juga:
- Kejohanan Dunia 2023: Pearly-Thinaah Tempat Slot Ke Suku Akhir
- Kejohanan Dunia 2023: Tang Jie-Ee Wei Pamer Kebangkitan Mara Ke Suku Akhir
- Kejohanan Dunia 2023: Ng Tze Yong Tewaskan Zhao Jun Peng
Pearly dan Thinaah gagal menggunakan kesempatan menang set pertama setelah tewas ‘rubber set’ 21-17, 17-21, 21-19 ke atas Zhang Shu Xian-Zheng Yu dari China.
Tidak pernah menewaskan lawan dari China tersebut pada tiga pertemuan terakhir, Pearly dan Thinaah bermula dengan baik untuk menang set pertama.
Jurang mata yang cukup rapat disaksikan pada set pertama dengan kedua-dua pasangan enggan mengaku kalah untuk memburu kemenangan.
Namun selepas terikat 17-17, beregu wanita nombor satu negara itu tidak melepaskan peluang untuk menjarakkan mata sehingga berjaya memenangi set pertama 21-17.
Segalanya tampak begitu baik buat pasangan negara pada permulaan set kedua apabila mereka mendahului 12-6.
Tetapi, aura kebangkitan jelas dapat disaksikan oleh Shu Xian dan Zheng Yu selepas itu apabila mereka dengan tenang mengejar satu demi satu mata untuk mendahului 16-14.
Keadaan itu jelas membuatkan Pearly-Thinaah terganggu hingga melakukan kesilapan mudah lalu menghadiahkan kemenangan kepada lawan 21-17 untuk aksi diheret ke set penentuan.
Aksi set penentuan menyaksikan cukup genting yang akhirnya menjadi milik pasangan ranking keenam dunia itu dengan kemenangan 21-19.
Manakala Tang Jie dan Ee Wei tidak mampu untuk menghalang kehebatan gandingan Jepun, Yuta Watanabe-Arisa Higashino 11-21, 11-21.
Sementara itu harapan terakhir kem negara untuk mara ke separuh akhir Kejohanan Dunia 2023 ini ialah kepada juara bertahan, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang akan bertemu pasangan pilihan keenam dari China, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi, sebentar lagi.