Gandingan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei meneruskan kecemerlangan dalam Kejohanan Terbuka China 2023 selepas berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir.

Baca Juga:

Kejayaan manis di suku akhir itu hadir apabila mereka berjaya menundukkan lawan dari Chinese Taipei, Ye Hong Wei-Lee Chia Hsin menerusi aksi yang berlangsung ‘rubber set’.

Malah ia terus mengekalkan rekod bersih buat rekod pertemuan Tang Jie-Ee Wei ke atas lawan tersebut dan menjadikan kedudukan 4-0 pada ketika ini.

Memiliki ranking lebih baik berbanding lawan tersebut, Tang Jie-Ee Wei bagaimanapun tidak diberikan laluan mudah oleh Hong Wei-Chia Hsin.

Hal ini dibuktikan apabila kelebihan lima mata ketika kedudukan 7-2 berjaya dikejar oleh pasangan ranking ke-15 dunia itu untuk mendahului 11-10 ketika rehat ‘interval’.

Namun selepas terikat 15-15, Tang Jie-Ee Wei yang mendapat tunjuk ajar Nova Widianto tampil garang meraih enam mata berturut-turut bagi memenangi set pertama dengan kedudukan 21-15.

Set kedua menyaksikan pasangan Chinese Taipei itu pula tampil lebih bertenaga dimana rentetan lapan mata diperolehi memberikan ruang buat mereka untuk menang 21-13.

Enggan terus ditekan lawan, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei memperbaiki aksi pada set ketiga dan ternyata ia memberikan hasil buat mereka.

Memiliki kelebihan 11-7 ketika ‘interval’, pasangan ranking ke-11 dunia itu mengesahkan kemenangan 21- 16 untuk menempah slot ke separuh akhir kejohanan berstatus Super 1000 itu.

Menanti mereka esok ialah pemenang antara Thom Gicquel-Delphine Delrue dari Perancis dan gandingan Jepun, Yuta Watanabe-Arisa Hishashino.