Gandingan Pearly Tan-M. Thinaah mara ke final Kejohanan Terbuka Hong Kong 2023 selepas berjaya menundukkan pasangan adik beradik dari Thailand, Nuntakarn dan Benyapa Aimsaard, sebentar tadi.

Baca Juga:

Kemenangan penting dilakarkan gandingan ranking ke-10 dunia itu menyaksikan mereka bakal beraksi di pentas final buat kali kedua pada tahun ini dalam siri Jelajah Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Final pertama yang dihadapi oleh mereka sebelum ini ialah dalam Kejohanan Malaysia Masters 2023 dimana mereka tunduk kepada pasangan Korea Selatan, Baek Ha-Na- Lee So Hee.

Semangat juang tinggi jelas dipamerkan Pearly dan Thinaah yang bermula dengan baik pada permulaan set pertama setelah mendahului 6-2.

Aksi kemas itu terus dijelmakan dengan kelebihan 17-7 dimiliki hingga mereka memenangi set pertama 21-13.

Nuntakaran dan Benyapa kemudiannya memberikan saingan lebih sengit kepada pasangan negara itu pada set kedua.

Namun, tekanan diberikan masih belum mampu untuk menghalang kemaraan Pearly Tan-M. Thinaah untuk mengesahkan kemaraan ke final dengan kemenangan 21-18.

Menanti Pearly dan Thinaah di finmal esok ialah pemenang antara wakil Indonesia, Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti yang sedang berdepan pasangan Denmark, Maiken Fruergaard-Sara Thygesen.

Sementara itu perjalanan Goh Jin Wei terhenti di separuh akhir setelah tewas kepada pemain perseorangan wanita China, Zhang Yi Man 14-21, 11-21.

Dua lagi wakil negara, Ng Tze Yong dan Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie akan turun beraksi selepas ini untuk cuba mengiringi Pearly-Thinaah ke final.