Hajat untuk melihat Lee Zii Jia beraksi di perlawanan akhir Kejohanan Badminton Terbuka Australia 2023 tidak kesampaian selepas pemain perseorangan utama itu tewas kepada Weng Hong Yang pada aksi separuh akhir yang berlangsung di Sydney, sebentar tadi.

Baca Juga:

Perlawanan yang berlanjutan hingga ke set penentuan itu berlangsung selama satu jam 21 minit itu merupakan kemenangan kedua berturut-turut diraih Hong Yang ke atas wakil negara itu dalam tiga pertemuan terakhir mereka.

Lee Zii Jia memulakan aksi dengan baik dengan mendahului 10-7 pada peringkat awal permainan. Bagaimanapun, Hong Yang tampil lebih baik untuk mengikat kedudukan 13-13.

Keadaan itu jelas meningkatkan lagi moral pemain ranking ke-24 dunia tersebut untuk memenangi set pertama dengan mata 21-15.

Tersentak dengan kekalahan tersebut, Zii Jia yang menewaskan rakan senegara, Ng Tze Yong pada aksi suku akhir mempamerkan corak permainan lebih bertenaga pada set kedua.

Ia jelas dibuktikan apabila beliau tidak berdepan masalah untuk memenangi set kedua 21-13 sekali gus mengheret perlawanan ke set penentuan.

Semuanya seperti tidak begitu menjadi buat Zii Jia pada set ketiga selepas beliau ketinggalan 7-14 dan wakil China itu terus pantas ke hadapan untuk mendahului 18-9.

Meskipun anak kelahiran Alor Setar itu cuba bangkit melawan tetapi ia masih belum cukup menghalang kemenangan Weng Hong Yang 21-13.

Menanti Hong Yang di perlawanan akhir ialah pemenang antara dua wakil India, H.S Prannoy dan Priyanshu Rajawat yang akan beraksi sebentar lagi.