Pengurus Manchester United, Erik ten Hag mengakui dirinya teruja untuk melihat masa depan pasukannya selepas keluarga Glazer bersetuju bagi menjual pegangan saham kelab tersebut.

Mula memegang ‘tampuk pemerintahan’ Manchester United sejak 2005, Malcolm Glazer seringkali dikritik para penyokong The Red Devils berikutan cara beliau mengendalikan urusan kelab.

Sehubungan dengan itu, keluarga Glazer telah membuat pengumuman pada bulan lalu bahawa mereka bersedia menjual Manchester United dengan alasan merancang untuk meneroka alternatif strategik.

Keputusan itu disambut baik ten Hag yang merasakan sesuatu yang lebih menarik akan digapai United sebaik proses pengambilalihan selesai.

“Akan ada semakin banyak pelaburan ia merupakan perkara yang bagus,” ujar ten Hag menurut laporan FotMob.

“Kami [ten Hag dan Ketua Pegawai Eksekutif, Richard Arnold] bercakap tentang budaya yang dimahukan, kami juga bercakap tentang objektif, sasaran dan budaya dan dia mengesahkan bahawa semua itu tidak akan berubah [setelah mendapat pemilik baharu].”

“Ia akan menjadi sesuatu yang lebih baik kerana lebih banyak duit akan disediakan untuk menjalankan projek ini.”

“Terdapat perubahan dalam keadaan apabila anda membandingkan Liga Perdana Inggeris dengan lima atau 10 tahun kebelakangan ini.”

“Newcastle United sudah datang, malah West Ham United, mungkin bukan sekarang dalam senarai tetapi mereka mempunyai pelaburan yang besar. Tottenham Hotspur sudah pastinya dan saya tidak perlu untuk bercakap tentang Manchester City dan Liverpool atau Chelsea.”

“Anda boleh mengira dengan pantas tujuh atau lapan kelab yang boleh bersaing dalam saingan liga.”

“Ia juga berkaitan dengan strategi, tidak hanya disebabkan wang. Tetapi ia jelas bahwaa apabila anda tidak mempunyai pemain yang tepat dan berkualiti, anda tidak boleh berjaya dan mencapai sasaran yang anda tetapkan,” tambah ten Hag lagi.

 

Sumber