Pengurus Manchester United, Erik ten Hag menganggap aksi anak buahnya pada pertembungan menentang Tottenham Hotspur awal pagi tadi adalah yang terbaik selepas mereka mengharungi 13 perlawanan musim ini.
Baca Juga:
- Man United vs Tottenham: United Catat Kemenangan Dengan Permainan Memukau
- Saha Ingatkan Fred, ‘Anda Bersama Manchester United, Bukannya Pasukan League Two’
- EPL: Manchester United Benam Arsenal, Antony Skor Pada Debut
The Red Devils kelihatan cukup garang dengan corak persembahan tersusun pada aksi yang berlangsung di Old Trafford itu apabila berjaya mencatatkan kemenangan 2-0 menerusi jaringan Fred dan Bruno Fernandes.
Selain itu, jentera pertahanan yang diketuai Raphael Varane dan Lisandro Martinez turut memainkan peranan dengan baik untuk memastikan David De Gea tidak dibolosi bagi tiga perlawanan berturut-turut.
Satu perkembangan yang cukup baik buat Manchester United yang sebelum ini tewas pada dua perlawanan awal Liga Perdana Inggeris (EPL) bertemu Brighton dan Brentford.
Dengan kemenangan yang diraih, Manchester United kini menghuni tangga kelima dengan 19 mata hasil enam kemenangan, satu keputusan seri dan tiga kekalahan, hanya ketinggalan satu mata dibelakang Chelsea.
“Menentang Tottenham, sebuah pasukan yang mantap dan hebat, kami telah bermain dan beraksi dengan cukup baik,” ujar ten Hag menurut kenyataannya dalam laman sesawang rasmi Manchester United.
“Hari ini adalah persembahan cemerlang dipamerkan. Kami menjaringkan dua gol dan saya fikir kami sepatutnya dapat menjaringkan tiga atau empat gol.”
“Saya gembira dengan pasukan, ini adalah persembahan terbaik pasukan setakat musim ini. Anda boleh lihat pada hari ini kami sedang membangun.”
“Kami semakin baik setiap kali di atas padang. Amat seronok untuk melihat keadaan ini,” tambah Erik ten Hag lagi.