Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini mengesahkan Lubnan telah menarik diri daripada menyertai Pestabola Merdeka 2023 yang dijadualkan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 13 hingga 17 Oktober 2023.

FAM telah menerima surat rasmi daripada Persatuan Bola Sepak Lebanon (LFA) pada Isnin, 14 Ogos 2023 menyatakan bahawa mereka terpaksa menarik diri daripada Pestabola Merdeka 2023 dengan alasan Lebanon dan Palestine telah diundi dalam kumpulan yang sama bagi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 bermula November ini.

Mereka mengambil langkah proaktif dengan segera menghubungi beberapa pasukan baharu sebagai pengganti supaya perjalanan pertandingan tersebut yang telah ditetapkan untuk disertai oleh empat pasukan dengan dua hari perlawanan iaitu pada 13 dan 17 Oktober ini tidak terjejas.

Sehari kemudian iaitu pada Selasa, 15 Ogos 2023, FAM telah berjaya mendapatkan pengesahan daripada Persekutuan Bola Sepak Tajikistan (TFF) untuk pasukan kebangsaan Tajikistan yang kini berada di ranking ke-110 dunia menggantikan slot yang ditinggalkan oleh pasukan Lebanon itu.

Biarpun dengan perubahan terbaharu ini, susunan jadual perlawanan berdasarkan ketetapan majlis undian sebelum ini akan dikekalkan iaitu Malaysia bertemu India manakala Palestine kini akan menentang Tajikistan pada 13 Oktober 2023.

Para penyokong Harimau Malaya boleh mendapatkan tiket perlawanan pestabola Merdeka secara dalam talian menerusi laman web www.tickethotline.com.my mulai hari ini. 

Harga tiket untuk setiap Hari Perlawanan tersebut ialah RM40 (dewasa) dan RM5 (kanak-kanak 6 hingga 12 tahun) bagi Kategori Terbuka, RM60 bagi Kategori Grandstand dan RM80 bagi Kategori Premium.

FAM bagaimanapun memperkenalkan Tiket Kombo RM70 yang mana penyokong Harimau Malaya berpeluang untuk membeli tiket bagi kedua-dua Hari Perlawanan (13 dan 17 Oktober 2023) pada satu harga istimewa iaitu RM70 bagi Kategori Terbuka sahaja.

Tiket Kombo RM70 berkenaan akan dijual dalam tempoh terhad bermula 9 Ogos hingga 5 September 2023.

Seterusnya, tiket Kategori Terbuka pada harga normal serta tiket Kategori Grandstand dan Premium pula hanya akan dijual bermula 6 September 2023.