Kelab Liga Vietnam 1, Quang Nam kini menjadi bualan hangat di negara itu kerana disyaki mengamalkan ilmu hitam untuk memastikan kemenangan berpihak kepada mereka dalam perlawanan menentang Nam Dinh.
Nam Dinh dijadualkan menentang Quang Nam semalam dalam perlawanan ke 9 Liga Vietnam 1. Seperti biasa, kedua-dua pasukan diberi peluang untuk membiasakan diri dengan keadaan padang dan menjalani latihan di Stadium Thien Truong sehari sebelum hari perlawanan.
Namun, pasukan Quang Nam berkelakuan aneh ketika sedang menjalani sesi latihan di stadium tersebut. Penjaga gol kelab itu didapati menabur garam, nasi dan cairan berwarna unggu di kawasan kotak penalti.
Aksi tersebut mula disedari oleh petugas stadium dan berteriak memaklumkan kepada para penyokong yang berada di situ. Kemudian, para penyokong Nam Dinh turun ke padang untuk memeriksa sendiri dan mereka berang dengan tindakan pasukan lawan cuba mengamalkan ilmu hitam untuk raih kemenangan.
“Saya mengetahuinya ketika Quang Nam sedang berlatih. Seorang kakitangan yang bekerja di Stadion Thien Truong melihat pemain pasukan itu melakukan tindakan yang tidak normal dan aneh,” kata wakil kelab Nam Dinh dipetik dalam Zing.
“Dia kemudian berlari dan melihat penjaga gol Quang Nam menaburkan garam, nasi, dan cairan berwarna ungu di padang. Petugas stadium itu segera berteriak kepada semua orang.
“Setelah itu, penyokong Nam Dinh pergi memeriksa dan mereka menemukan beras, garam, dan air berwarna ungu ditaburkan di seluruh tanah, terutama di kawasan penalti,” tambahnya.
Bagaimanapun, wakil kelab Nam Dinh tidak yakin Federasi Bola Sepak Vietnam (VFF) akan mengambil tindakan terhadap penjaga gol Quang Nam itu kerana ia tidak ada dalam peraturan pertandingan.
Perlawanan itu tetap berlangsung seperti biasa semalam dan Nam Dinh berjaya menewaskan Quang Nam dengan jaringan 1-0.
Presiden kelab Quang Nam ketika diminta mengulas mengenai isu tersebut menafikan para pemainnya mengamalkan ilmu hitam untuk memberi masalah dan kemudaratan kepada pasukan tuan rumah.
Beliau menjelaskan tindakan menabur garam dan nasi sekadar ritual agama mereka untuk mendoakan agar perlawanan dapat berlangsung dengan aman dan lancar.
“Ini hanya salah faham. Penyokong Nam Dinh terus membesar-besarkan isu ini tetapi itu bukan masalah utama. Ini kegiatan yang menjadi kepercayaan biasa pasukan.
“Sebelum perlawanan, biasanya anda akan doakan ketenangan. Pasukan saya profesional, dan saya tidak perlu melakukan apa-apa untuk menghalang orang meraih kemenangan,” jelasnya.
Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak Asia melalui pautan dibawah.
FAT Mahu Panggil Pemain Kacukan Berpangkalan Di Luar Negara Hadapi Piala AFF 2020