Dalam perlawanan bola sepak saingan Liga Vietnam beberapa hari yang lalu, seorang pemain kelab Than Quang Ninh FC, Nguyen Hai Huy telah mengalami kecederaan yang amat serius – patah kaki, selepas bertembung dengan pemain Hong Linh Ha Tinh.
Keadaan kecederaan yang dialaminya itu mirip kepada kecederaan yang pernah menimpa pemain Manchester United, Luke Shaw satu ketika dahulu.
Namun, apa yang menjadi persoalan kini adalah bagaimana pihak perubatan yang berada di stadium itu mengendalikan kecederaan seteruk itu.
Berdasarkan beberapa gambar yang dimuat naik oleh portal sukan BongdaPlus, Nguyen Hai Huy menerima rawatan awal sebelum dibawa menaiki ambulans ke hospital tetapi rawatan awal yang diberikan itu nampak seperti ‘tidak kena’ dengan kecederaan yang dialami.
Selepas pertembungan diatas garisan kawasan penalti, gambar jelas menunjukkan kaki kanan Nguyen Hai Huy ‘patah tebu’ dan pihak perubatan telah segera masuk ke dalam padang memberikan rawatan.
Beliau akhirnya telah diusung menggunakan ‘strecher’ serta kakinya hanya diletakkan ais sahaja tanpa ada sebarang alatan khas untuk kecederaan sebegitu rupa.
Keadaan ini kelihatan seperti pemain itu hanya mengalami kecederaan otot biasa, sedangkan dilaporkan kedua-dua tulang betis Nguyen Hai Huy patah terus. Adakah ini situasi yang biasa dalam persekitaran bola sepak Vietnam khususnya?
Sebagai perbandingan, mungkin ada beberapa kali kita melihat bagaimana pemain-pemain di eropah khususnya diberikan rawatan awal didalam padang untuk kecederaan sebegini sebelum dibawa ke hospital.
Sepatutnya, pihak perubatan yang telah bersedia di stadium mempunyai peralatan yang cukup berdasarkan risiko kecederaan yang mungkin dialami oleh pemain-pemain dan bukan ‘sekadar ada’.
Apabila berlakunya situasi sebegini, ia sebenarnya memperlihatkan bagaimana sesebuah liga itu dianjurkan dan dalam kes ini kesiapsiagaan pasukan perubatan di stadium dalam liga Vietnam mula diragui kerana mungkin kes sebegini amat jarang berlaku tetapi ia bukan alasan untuk tidak bersedia.
Sejak saingan bola sepak di Vietnam kembali beraksi, ramai pemain-pemain mereka mengalami beberapa kecederaan yang agak serius selepas berehat panjang dan bakal menjejaskan persiapan skuad kebangsaan mereka.
Teruskan membaca 3 artikel terpilih berkaitan bola sepak ASEAN yang kami sediakan untuk anda.
Vietnam Mungkin Seronok Liga Sudah Bermula, Tetapi Ramai Pemain Skuad Kebangsaan Mula Cedera