Dikala ramai peminat bola sepak Vietnam mula ‘seronok’ apabila scene bola sudah kembali, ramai juga yang mungkin tidak menyedari bahawa pemain-pemain mereka sudah mula terkesan dengan risiko yang amat membimbangkan -kecederaan.
Laporan terkini dari portal sukan Zingnews menyatakan bahawa beberapa pemain utama skuad kebangsaan Vietnam kini mula mengalami kecederaan hanya selepas 1 atau 2 perlawanan kembali berlangsung sehingga terpaksa berehat semula untuk beberapa minggu.
Kebiasaannya, pasukan dalam saingan Vietnam memerlukan sekitar 3 bulan untuk melakukan persiapan sebelum saingan bermula, tetapi selepas saingan bola sepak dihentikan mulai 15 Mac segalanya mula menjadi ‘kucar-kacir’.
Portal sukan terkenal di Vietnam itu menyebut bahawa para pemain khususnya ‘terpaksa’ menukar cara latihan dari ‘purpose-oriented training‘ kepada ‘physical fitness training‘ dan pasukan juga berdepan kesukaran untuk melaksanakan perancangan lebih efektif dalam masa yang sesingkat itu.
Pada 13 Mei 2020, Jawatankuasa Eksekutif VFF membuat pengumuman bahawa saingan bola sepak domestik di negara itu akan bermula dalam tempoh 10 hari. Ini bermakna, persiapan yang sebelum ini mengambil masa sekurang-kurangnya 2 hingga 3 bulan telah ‘dipendekkan’ kepada 2 minggu sahaja dan ini adalah punca utama kepada siri kecederaan pemain.
“Apabila pemain melakukan persiapan diawal musim, mereka telah bersedia untuk mempertingkatkan keadaan fizikal, teknikal, taktikal serta psikologi permainan. Mereka telah melakukan latihan berat dan otot, ligamen serta sendi sudah pun stabil.”
“Tetapi dengan penundaan perlawanan disebabkan isu COVID-19, pemain sudah tidak memiliki satu latihan yang stabil seperti biasa yang meletakkan mereka dalam situasi tanpa persiapan yang baik. Dan ini akan menjadikan mereka senang mendapat kembali kecederaan”, komen dari bekas jurulatih Vietnam, Tran Binh Su.
Kini mereka terpaksa melihat sahaja keadaan kecederaan yang dialami oleh beberapa pemain utama skuad kebangsaan Vietnam seperti Trong Hoang, Ha Duc Chinh , Nguyen Van Quyet, Nguyen Trong Hung, Nguyen Van Toan, Tuan Anh, serta pemenang bola emas Vietnam Do Hung Dung.
Ini masih belum dicampur dengan pemain-pemain yang tidak mempamerkan aksi seperti yang diharapkan lagi yang menyebabkan Park Hang-seo mula gelisah bagaimana mahu melakukan pemilihan pemain menyertai kem latihan skuad kebangsaan nanti.
Teruskan membaca 3 artikel terpilih berkaitan bola sepak ASEAN yang kami sediakan untuk anda.
“Shukor Adan, Kalau Dia Bagi Arahan Semua Pemain Mudah Dengar Apa Dia Kata” – Norhafiz Zamani
Media Thailand Ini Labelkan Skuad Kebangsaan Malaysia Sebagai ‘Johor National Team’
Vietnam Tidak Sempat ‘Naturalisasi’ Filip Nguyen, Berdepan Risiko Tinggi Dalam 3 Perlawanan Penting