Pengurus Perak Bison, Mohd Jaffrey Mohd Zainol enggan melihat anak buahnya terburu-buru dalam usaha untuk menjulang kejuaraan Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) 2023 pada hujung minggu ini.

Perak Bison merampas kedudukan teratas daripada KL Thunder selepas berjaya menundukkan lawan tersebut menerusi kemenangan 21-13, 21-14 untuk bagi memegang kelebihan set menang meskipun terikat 24 mata.

Dengan kedudukan tersebut, Perak Bison yang dibarisi Jakkrit Tinbangbon, Meor Zulfikar Mat Amin, Noraizat Nordin, Madzrul Aziq Mat Tahir, Mohd Azizul Mohamad Sairi, Aidil Aiman , Muhammad Asyraf Abdul Hadi dan Muhaimin Othman memerlukan kemenangan ‘straight set’ pada dua aksi terakhir minggu ini untuk muncul juara STL buat kali kedua.

Lawan yang perlu dihadapi oleh mereka ialah Sabah Mountaineers dan KPT MASUM Knight dimana kedua-dua pasukan tersebut pernah ditewaskan pada pusingan pertama di Kuala Kangsar.

Melihatkan kepada keadaan itu, Mohd Jaffrey mahu barisan pemain Perak Bison memberikan tumpuan sepenuhnya satu perlawanan demi satu perlawanan walaupun keserasian pemain semakin jelas terserlah pada ketika ini.

“Kita faham keadaan amat genting bila mana kita cuma dibezakan dengan set sahaja dalam penentuan kejuaraan, tapi saya sebolehnya nak pemain-pemain fokus game demi game terlebih dahulu.’’

“Saya mahu mereka memberikan persembahan yang terbaik. Sabah Mountaineers dan KPT MASUM Knights juga bukanlah calang-calang pasukan dan amat jelas bahawa masing-masing sekarang ada misi yang ingin dikejar,’’ ujar Mohd Jaffrey bercakap kepada wakil Vocket FC.

“Memandangkan tuga pemain yang mewakili malaysia baru-baru ini dah kembali [merujuk kepada Meor, Noraizat dan Aidil], kita boleh pelbagaikan lagi strategi untuk kita berdepan sabah mountaineers dan KPT MASUM Knight.’’

“Tambahan pula, keyakinan dan keserasian pemain sesudah perlawanan lepas juga nampak semakin baik. jadi saya memang harapkan momentum dapat diteruskan,’’ tambah Mohd Jaffrey lagi.