Ketua Pegawai Eksekutif Sri Pahang FC, Datuk Mohammed Suffian Awang menarik nafas lega apabila semua pemain, jurulatih dan pegawai pasukan sudah mendapatkan dos pertama vaksin pada minggu lalu sambil menyifatkan ia cukup penting bagi memastikan kelancaran Liga Malaysia.
Jelasnya, berikutan kes COVID-19 yang tidak menentu ketika ini, pasukan yang bertanding juga tidak menolak rasa bimbang membelenggu diri dan pengambilan vaksin adalah jalan penyelesaian terbaik untuk membendung wabak ini.
Dengan beberapa pasukan juga turut sama selesai mendapatkan dos pertama vaksin, Suffian percaya setiap pasukan akan berasa lebih selamat dan terjaga untuk mereka meneruskan tanggungjawab di atas padang selepas ini.
Sri Pahang dijangka akan mendapatkan dos kedua vaksin pada 25 Jun ini.
Apa yang menjadikan vaksin ini begitu penting adalah bagi memastikan kelancaran Liga Malaysia yang lebih baik agar pasukan serta penyokong dapat sama-sama kembali merasai kemeriahan liga selepas berdepan musim yang hambar pada tahun lalu.
Sri Pahang sudah selesai dos pertama vaksin?
Ketua Pegawa Eksekutif @OfficialPahang, Datuk Mohammed Suffian Awang akui lega semua pemain dan pegawai pasukan sudah selesai dos pertama vaksin, minggu lalu.
Jom saksikan komen beliau.#LigaSuper2021 pic.twitter.com/PeD1ZGzsQ5
— Malaysian Football League (@MFL_MY) June 10, 2021
“Saya nak ucap terima kasih kepada pihak Kerajaan Negeri Pahang dalam membantu usaha mendapatkan peruntukan vaksin, begitu juga pihak KBS (Kementerian Belia dan Sukan), MFL (Malaysian Football League) yang sentiasa mendokong usaha untuk memastikan pemain mendapatkan vaksin.
“Ini merupakan kunci utama dalam kita mengurangkan wabak COVID-19 kerana kelompok imuniti sangat penting bukan sahaja daripada aspek sukan, tetapi untuk komuniti lain dan sebagainya.
“Jadi, perlindungan ini bukan sahaja kita dapat tengok untuk pasukan, tetapi ia bagi memastikan kita dapat menghadapi Liga Malaysia dengan lebih baik secara keseluruhan.
“Mungkin selepas ini bila ramai dah dapat vaksin, PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) juga dapat dikurangkan selepas kes berkurang, jadi sewajarnya sama-sama kita bantu dan daftarlah sekarang untuk mendapatkan vaksin,”jelasnya.
Skuad Tok Gajah kini sedang menjalani latihan secara Camp Based Training di Padang Majlis Perbandaran Pekan sejak 1 Jun lalu.
Tempoh masa yang ada ketika liga sedang berehat ini dimanfaatkan untuk membantu dan memberi ruang kepada empat import baharu mereka iaitu Aung Kaung Mann, Kenny Athiu, Abubakar Yakubu dan Manuel Hidalgo untuk lebih mengenali pasukan kerana sebelum ini hanya sempat berlatih beberapa hari sahaja sebelum turun beraksi.
Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan.
Selangor Bawa Masuk Seorang Lagi Pemain Import Pinjaman Daripada Kelab Accra Lions