Wesley Sneijder tidak rasa langkah menukar pengurus adalah pilihan terbaik untuk Ajax pada ketika ini.

Baca Juga:

Selepas 7 perlawanan, Ajax hanya mengutip 5 mata hasil 1 kemenangan 2 seri dan 4 kekalahan.

Menjadikan ia permulaan terburuk Ajax dalam sejarah kelab itu. Ini pertama kali Ajax menghuni tangga ke-17 dalam carta Liga Eredivisie Belanda.

Terbaru kelab jaguh Belanda itu kalah di tangan FC Utrecht 4-3.

Legenda Belanda, Wesley Sneijder mendengar peminat Ajax sudah mulai mendesak agar pengurus kelab, Maurice Steijn dipecat segera. Dan Sneijder tidak bersetuju.

Ajax sebelum ini sudah memecat pengurus mereka Alfred Schreuder yang mengisi pemergian Erik Ten Hag. Namun jelas ianya masih tidak dapat menyelesaikan krisis di Ajax.

Sneijder berkata, masalah utama Ajax adalah pemain yang mereka ada pada hari ini tidak berkualiti.

Ajax terlalu aktif menjual pemain bintang. Dalam beberapa musim ini mereka sudah melepaskan bintang seperti Frenkie De Jong, Donny Van De Beek, De Ligt, Mohammed Kudus, Antony, Lisandro Martinez, Edson Alvarez, Jurrien Timber dan ramai lagi.

Mereka juga menamatkan kontrak kapten sebelum ini Dusan Tadic hanya kerana pemain itu mempersoalkan polisi kelab Ajax yang dianggap menipunya.

Menurut Tadic, Ajax pernah berjanji akan menguatkan pasukan dengan berbelanja di pasaran perpindahan. Itu menjadi perjanjian tidak bertulis antara Ajax dan Tadic ketika memujuk pemain itu melanjutkan kontrak baharu.

Ajax malah berterusan menjual dan hanya membeli pemain yang dianggap biasa biasa berbanding dengan bakat yang mereka lepaskan.

Sneijder menegaskan: “Menukar pengurus tidak akan menyelesaikan apa apa di Ajax. Letaklah siapa sahaja menjadi pengurus Ajax, pasukan ini tetap akan sama, kerana tidak mempunyai pemain yang berkualiti.”

“Aksi menentang Utrecht sangat teruk.”

“Maksud saya di sini, apa yang seorang pengurus boleh lakukan tentang kualiti pasukan ini? Sangat terhad. Sebab itu saya kata, tak kira la siapa sahaja pengurus yang melatih Ajax, perkakas yang dia guna sekarang ini tidak cukup bagus untuk dia bekerja.”

“Ini akan membuatkan mereka sukar untuk melakukan sesuatu. Saya berpendapat, kita terlalu mudah menyalahkan pengurus. Akhirnya dia akan menjadi kambing hitam dan dikorbankan. Itu sudah menjadi lumrah dalam bola sepak.”