Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam mendedahkan skuad bawah 19 tahun negara (B-19) kemungkinan akan berlatih di Uzbekistan atau negara di sekitarnya sebagai persiapan menghadapi Kejohanan AFC B-19 yang berlangsung pada Oktober ini.

Pemilihan lokasi berkenaan bertujuan untuk membiasakan pemain dengan keadaan cuaca sejuk sebulan atau dua bulan sebelum perlawanan bermula.

Namun, ia bergantung pada kebenaran daripada Majlis Keselamatan Nasional (MKN) untuk memberi kelonggaran kepada skuad kendalian Brad Maloney berlatih di luar negara susulan penularan wabak pandemik COVID-19.

“Maloney ada mencadangkan untuk diadakan latihan di negara-negara berdekatan Uzbekistan sama ada sebulan atau dua bulan sebelum kejohanan sebagai persediaan pasukan B-19.

“Tapi perancangan itu bergantung dengan keputusan MKN dan kita sedang berusaha ke arah itu. Sekiranya dibenarkan, kita juga perlu mendapatkan keizinan negara itu pula” katanya seperti dipetik dalam Arena Metro.

68755278_2323428784420539_5847567612380184576_o
Skuad Malaysia B-19. FOTO: FAM

Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) bakal mengadakan undian kejohanan AFC B-19 2020 di Kuala Lumpur pada 18 Jun ini.

Undian kejohanan AFC B-16 turut diadakan pada hari yang sama bermula pada pukul 2.30 petang kemudian diikuti dengan undian AFC B-19 pada pukul 4.30 petang. Bahrain dan Uzbekistan dipilih sebagai tuan rumah kedua-dua kejohanan tersebut.

Skuad Malaysia B-19 yang muncul sebagai juara kumpulan G kelayakan AFC B-19 pada bulan November tahun lepas diletakkan dalam balang tiga bersama Vietnam, Iraq dan Kemboja.

Selain Malaysia, 4 pasukan dari Asia Tenggara yang mengesahkan tempat ke kejohanan itu ialah Vietnam, Indonesia, Kemboja dan Laos.

Kegagalan Thailand mara ke pusingan akhir tahun hadapan merupakan kali pertama berlaku dalam tempoh 29 tahun. Kali terakhir Thailand gagal ke pusingan akhir adalah pada edisi 1990.

Ini juga merupakan penampilan yang ke 24 Malaysia dalam kejohanan AFC B-19 dan mempunyai rekod sebagai naib juara pada tahun 1959, 1960 dan 1968. Tahun ini, Malaysia menyasarkan separuh akhir untuk mendapatkan tiket beraksi di Piala Dunia B-20 pada tahun depan.

Baca artikel lain mengenai perkembangan pasukan muda Malaysia dalam kempen AFF B-18 dan Kelayakan AFC B-19 tahun lepas.

Kelayakan AFC B-19: Aiman Afif Bantu Malaysia Catat Kemenangan Besar Ke Atas Kepulauan Mariana Utara

Jaringan Jarak Jauh Luqman Hakim Tarik Perhatian Selebriti Popular Tempatan

Dua Jaringan Luqman Hakim Bantu Malaysia Tewaskan Australia

Malaysia Tidak Berjaya Pertahankan Kejuaraan AFF B-18