Skuad muda negara memulakan kempen dalam Kejuaraan AFF Bawah 19 Tahun (B-19) dengan nota kemenangan selepas berjaya menundukkan Kemboja 2-1 pada aksi kumpulan B yang berlangsung di Stadion Madya, Senayan, Jakarta sebentar tadi.
Turun dengan status selaku naib juara edisi 2019 di Vietnam, skuad kendalian Hassan Sazali Waras itu tampil dengan meyakinkan dalam usaha mendapatkan jaringan.
Ia jelas dibuktikan apabila Muhammad Aliff Izwan Yuslan hampir membuka tirai jaringan seawal minit ketujuh tetapi percubaan pemain sayap tersebut menerusi gerakan solo di sebelah kiri pintu gol Kemboja diselamatkan penjaga gol, Reth Lyheng.
Kehampaan itu ditebus berselang enam minit kemudian apabila lorongan cantik dilakukan Aliff Izwan disudahkan dengan tenang Muhammad Najmudin Akmal Kamal Akmal dalam kawasan penalti untuk meletakkan skuad negara dihadapan.
Tersentak dengan jaringan tersebut, pemain Kemboja cuba untuk mempamerkan kebangkitan dengan meledakkan dua rembatan dari luar kawasan penalti. Bagaimanapun, penjaga gol negara, Syahmi Adib Haikal Mohd Shukri tidak berdepan masalah untuk menyelamatkan percubaan tersebut.
Memasuki minit ke-29, kem negara sekali lagi melonjak kegembiraan apabila percubaan voli yang tanpa disangka-sangka daripada Muhammad Haiqal Haqeemi Hairi tidak mampu dinafikan Lyheng bagi melebarkan lagi kedudukan.
Tidak cukup dengan kelebihan tersebut, para pemain negara menggandakan asakan pada babak kedua, namun dua percubaan daripada jarak dekat dilakukan pemain gantian, Muhammad Haqimi Azim Rosli diselamatkan Lyheng dan peluang dimiliki pada minit ke-55 pula sekadar singgah di tiang gol.
Dalam keghairahan skuad negara untuk menambah jaringan, Kemboja menghukum kealpaan jentera pertahanan berselang seminit kemudian sekali gus membolehkan Chanvibol Davit menewaskan Syahmi Adib bagi merapatkan jurang.
Tidak mahu pasukan lawan terus memberikan tekanan, skuad negara memperkemaskan aksi dan beberapa kali cuba untuk mendapatkan jaringan ketiga.
Bagaimanapun, sepakan percuma cantik diledakkan Mohammad Haykal Danish Mohd Haizon dinafikan dengan baik Lyheng manakala Muhammad Haikal Sahar yang mendapat hantaran lintang menarik daripada rakan sepasukan tidak berjaya melakukan tolakan mudah untuk kedudukan 2-1 kekal hingga tamat permainan.
Baca artikel lain mengenai perkembangan Kejuaraan AFF B-19 melalui pautan dibawah.
25 Pemain Berlepas Ke Indonesia Hadapi Saingan Piala AFF B-19