Malaysia menamatkan saingan kumpulan di kedudukan kedua selepas tunduk 0-1 kepada Laos pada aksi terakhir yang berlangsung di Stadium Patriot Chandrabhaga, Jakarta sebentar tadi.
Kekalahan pertama itu sekali gus menyaksikan skuad muda negara akan beraksi menentang Vietnam pada peringkat separuh akhir Kejuaraan AFF B-19 2022 yang dijadualkan berlangsung pada Rabu ini.
Laos yang masih lagi mengekalkan rekod kemenangan bersih dalam saingan kumpulan B mendapat peluang terbaik untuk berada di hadapan, bagaimanapun percubaan voli Khonesavanh Keonuchan dari luar kawasan penalti ditepis keluar penjaga gol, Syahmi Adib Haikal Mohd Shukri pada minit ke-12.
Tersentak dengan serangan tersebut, anak buah Hassan Sazali Waras tampil dengan lebih baik bagi mencipta peluang untuk merobek gawang Laos. Namun, penjaga gol, Chanthavsay Thiep Anong kental dalam menafikan deretan peluang dimiliki skuad negara.
Penjaga gol tersebut cemerlang mengagalkan peluang terbaik menerusi percubaan leret daripada Abdul Rahman Daud Azizol dan juga ledakan akrobatik dilakukan Muhammad Najmuddin Akmal Kamal Akmal.
Phoutthavong Sangvilay muncul wira buat skuad kendalian Hans Micheal Weiss apabila pemain pertahanan gantian itu menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-68 untuk membuka tirai jaringan.
Sepakan penalti itu dihadiahkan pengadil dari Indonesia, Aprisman Aranda berikutan kekasaran dilakukan kapten, Muhammad Faiz Amer Runnizar terhadap Athit Louanglath dalam kawasan penalti.
Usaha para pemain negara untuk kembali menyamakan kedudukan dengan menjelmakan beberapa percubaan berbahaya tidak membuahkan hasil bagi meletakkan Laos selaku juara kumpulan dan akan berhadapan dengan Thailand pada satu lagi separuh akhir.
Baca artikel lain mengenai perkembangan Kejuaraan AFF B-19 melalui pautan dibawah.
AFF B-19 2022: Aksi Jentera Pertahanan Bikin Hassan Sazali Resah
AFF B-19 2022: Lepasi Cabaran Getir Timor Leste, Malaysia Mara Ke Separuh Akhir