Hasrat skuad bawah 18 tahun negara (B-18) mempertahankan kejuaraan AFF B-18 tidak menjadi kenyataan apabila mereka tewas 0-1 kepada Australia dalam perlawanan akhir di Stadium Thong Nhat malam tadi.
Ini adalah kejuaraan kelima Australia selepas melakukannya pada tahun 2006, 2008, 2010, 2016 dan turut menyamai pencapaian Thailand. Manakala Malaysia muncul sebagai naib juara sebanyak 6 kali dari tahun 2003, 2005, 2006, 2007, 2017 hingga 2019.
Bagaimanapun, kemenangan Australia tidak begitu mudah apabila mereka terpaksa menunggu sehingga minit ke-80 hasil rembatan Lachan Ricky Brook menewaskan penjaga gol Malaysia, Firdaus Iman yang masuk menggantikan Sikh Izhan kerana mengalami kecederaan.
Biarpun gagal mempertahankan kejuaraan yang dimenangi oleh skuad kendalian Bojan Hodak pada tahun lepas, tetapi ia bukanlah penamat bagi pasuan ini kerana mereka masih mempunyai misi yang lebih penting iaitu kelayakan AFC B-19 pada bulan November ini.
Skuad negara diundi dalam Kumpulan G bersama Thailand, Kemboja (tuan rumah), Brunei dan Kepulauan Mariana Utara.
Sebanyak 46 negara yang dibahagikan kepada 11 kumpulan bakal bersaing bagi merebut tempat ke pusingan akhir dengan juara setiap kumpulan dan lima pasukan terbaik di tempat kedua mara ke pusingan akhir.
Pusingan kelayakan akan berlangsung dari 2 hingga 10 November ini di negara tuan rumah yang dipilih.
Sementara itu, Indonesia menamatkan kempen kejohanan tersebut di tempat ketiga selepas membelasah Myanmar 5-0 di venue yang sama, petang tadi.