Setelah dikecewakan dengan kegagalan skuad Malaysia B-16 dan Malaysia B-23 beraksi di pentas Asia, peminat bola sepak tempatan kini meletak harapan tinggi pada skuad Malaysia bawah 18 tahun (B-18) untuk mara ke pusingan akhir Kejohanan AFC B-19 pada tahun depan.
Skuad kendalian Brad Maloney itu mempamerkan prestasi yang menyakinkan ketika dalam kejohanan AFF B-18 pada bulan lepas apabila mengejutkan Australia 3-0 dan menewaskan Indonesia 4-3 di separuh akhir.
Penyerang prolifik negara, Luqman Hakim Shamsuddin yakin dengan kemampuan pasukannya dan tekad menampilkan aksi yang lebih baik dalam saingan Kelayakan AFC B-19 yang akan bermula pada bulan November depan.
Malaysia dijadualkan bertemu tuan rumah, Kemboja pada 2 November depan diikuti Brunei (6 November), Kepulauan Mariana Utara (8 November) dan akhir sekali, Thailand pada 10 November.
“Saya rasa tiada halangan bagi saya dan pasukan untuk lakukan yang terbaik dan berharap Malaysia akan layak. Namun, kita tidak boleh ambil mudah cabaran pasukan Kemboja dan Thailand.
“Walaupun kita pernah bermain dalam kejohanan AFF, kedua-dua pasukan ini adalah kuat,” katanya dalam Arena Metro.
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah menyenaraikan 32 pemain muda untuk menyertai sesi latihan pusat yang bermula sejak hari sabtu lepas. Skuad akhir 23 pemain akan berlepas ke Phnom Penh, Kemboja pada 31 Oktober 2019 dan kembali semula pada 11 November 2019.
Pada masa yang sama, Luqman menyifatkan kehadiran muka baharu memberi kekuatan tambahan kepada pasukan berdasarkan kualiti permainan masing-masing.
“Muka baru dalam skuad B-18 ada sembilan orang dan saya akan berusaha menyesuaikan diri dengan mereka. Bagi saya mereka juga ada kebolehan dan prestasi yang bagus. Jadi saya tidak boleh pandang rendah, sebaliknya anggap kami semua sama saja,” ujarnya.
Imbas kembali prestasi skuad Bawah 18 tahun Malaysia ketika dalam Kejohanan AFF B-18 pada bulan lepas.
AFF B-18: Malaysia Mudah Tewaskan Kemboja Untuk Raih Kemenangan Kedua