Perlawanan yang sengit dan cukup dramatik !!
Itulah kesimpulan yang dapat mengambarkan tentang perlawanan diantara Malaysia menentang Indonesia sebentar tadi. Bukan satu, bukan dua tetapi ini adalah kali ketiga skuad negara berjaya mengatasi Garuda Muda setiap kali mereka bertemu di peringkat separuh akhir kejohanan tersebut.
Dengan kemenangan 4-3, Malaysia berjaya melangkah ke perlawanan akhir dan berpeluang mempertahankan gelaran juara AFF B-18 yang dimenangi pada tahun lepas ketika dibawah kendalian Bojan Hodak.
Dalam perlawanan itu, Malaysia bermula dengan garang dan terlebih dahulu menguji benteng pertahanan Indonesia. Rembatan kapten pasukan, Muhammad Ajmal pada minit ke 5 hampir menghadiahkan jaringan awal untuk negara tetapi berjaya dinafikan oleh penjaga gol Indonesia.
10 minit kemudian, skuad kendalian Brad Maloney akhirnya berjaya membuka akaun jaringan menerusi Mohd Aiman Afif apabila menampan masuk sepakan percuma Muhammad Mukhairi Ajmal.
AFF U18 2019 – Semi Final
Gol pertama Malaysia dijaringkan oleh Aiman Afif pada minit ke 19.
Indonesia 🇮🇩 0-1 🇲🇾 Malaysia#VocketFC
AFFU18 pic.twitter.com/SOZlCaeNBO— VOCKET FC (@vocketfc) August 17, 2019
Bagaimanapun, kegembiraan skuad negara tidak bertahan lama apabila pemain tengah Indonesia, Beckhan Putra berjaya menyamakan kedudukan melalui rembatan cantik pada minit ke 44. keputusan 1-1 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.
Memasuki separuh masa kedua, Malaysia dan Indonesia bermain dengan lebih berhati-hati kerana permukaan padang yang licin dan mula rosak teruk akibat hujan lebat.
Pada minit ke 55, Luqman Hakim melepaskan rembatan kencang dari luar kotak penalti sehingga menewaskan penjaga gol lawan untuk menjadikan kedudukan memihak kepada skuad negara, 2-1. Ia adalah jaringan keempat Luqman dalam kejohanan AFF B-18.
LUQMAN HAKIM!
Gol ke-2 Malaysia dijaringkan oleh Luqman Hakim.
🇮🇩 Indonesia 1-2 Malaysia 🇲🇾 #VocketFC #AFFU18 pic.twitter.com/tm8BbWUYzj
— VOCKET FC (@vocketfc) August 17, 2019
Tersentak dengan jaringan tersebut, Indonesia cuba bangkit mencari jaringan penyamaan tetapi kerap kali dipatahkan oleh benteng pertahanan Malaysia dan kecemerlangan penjaga gol, Sikh Izhan.
Usaha Indonesia melancarkan serangan bertubi-tubi akhirnya membuahkan hasil apabila dua gol pantas diledak oleh Muhammad Fajar Fathur Rachman dan Muhammad Salman Alfarid membenarkan anak buah Fakhri Husaini Usai itu mendahului 3-2.
Kelebihan itu, bagaimanapun, bersifat sementara apabila Malaysia dihadiahkan sepakan penalti yang tenang disempurnakan Harith Haiqal Adam Afkar tatkala aksi permainan sebenar berbaki enam minit. Keputusan 3-3 kekal sehingga tamat perlawanan dan diheretkan ke masa tambahan.
Gol penyamaan Malaysia hasil sepakan penalti, 2 minit selepas Indonesia mendahului dengan 3 gol.
🇮🇩 Indonesia 3-3 Malaysia 🇲🇾 pic.twitter.com/eTTakLQzBI
— VOCKET FC (@vocketfc) August 17, 2019
Di masa tambahan, Malaysia seolah-olah mendapat tenaga baharu untuk melancarkan serangan ke kubu lawan. Pada minit ke 98, Harith Haiqal menjadi wira negara selepas menanduk masuk sepakan percuma daripada Muhammad Ajmal.
Inilah jaringan Harith Haiqal yang membawa skuad Malaysia mara ke final AFF B-18.
PADU! pic.twitter.com/aLYiCqR9s1
— VOCKET FC (@vocketfc) August 17, 2019
Jaringan itu jelas telah mematahkan semangat pemain Garuda Muda yang berharap dapat mengheretkan perlawanan ke penentuan sepakan penalti namun mereka sudah mula keletihan untuk mencari jaringan keempat. Keputusan 4-3 kekal sehingga pengadil meniupkan wisel penamat untuk mengesahkan tempat Malaysia ke perlawanan akhir AFF B-18 pada hari Isnin ini.