Skuad Malaysia bawah 18 tahun (B-18) meneruskan rentak kemenangan selepas menewaskan Kemboja, 3-0 pada perlawanan ketiga kumpulan B, Kejohanan AFF B-18 2019 di Stadium Thanh Long, Bandaraya Ho Chi Minh, petang tadi.

Dalam perlawanan itu, Malaysia turun tanpa khidmat penyerang prolifik, Luqman Hakim Shamsudin dan Firdaus Kaironnisam serta tampak tiada masalah untuk mendominasi perlawanan dengan barisan kedua.

67897257_2441735016063992_7591073224998256640_n
FOTO: FA Cambodia

Pada minit ke 18, kapten pasukan Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi, membuka akaun jaringan pertama apabila melepaskan rembatan cantik dari luar kotak penalti. Jaringan tersebut turut membangkitkan semangat anak buah Brad Maloney untuk terus mengandakan serangan.

7 minit sebelum tamat separuh masa kedua, Muhd Muslihuddin Atiq menggandakan jaringan dengan mengambil kesempatan ke atas kealpaan benteng pertahanan Kemboja. Tidak cukup dengan itu, pemain pertahanan, Firdaus Ramli manfaatkan sepakan percuma dengan menjadikan kedudukan kepada 3-0 sehingga tamat separuh masa pertama.

Memasuki babak kedua, skuad negara memperolehi beberapa peluang keemasan menjaringkan gol keempat melalui percubaan berbahaya daripada Muslihuddin Atiq dan Ajmal namun penyudah mereka tumpul serta gagal menemui sasaran.

67885108_2441735882730572_3847753164879036416_o
FOTO: FA Cambodia

Kemenangan tanpa bolos ke atas Kemboja sudah pasti memberikan tonik terbaik buat skuad negara, yang akan mengharungi baki dua perlawanan terutama berhadapan Thailand, Khamis ini, selepas skuad ‘Gajah Putih’ itu tewas 3-4 kepada Kemboja, Jumaat lepas.

Lawan Malaysia seterusnya pada Selasa ini adalah juara empat kali, Australia yang mengumpul enam mata selepas mengharungi dua perlawanan setakat ini sebelum turun membuat perhitungan menentang Thailand pada aksi ketiga kumpulan, malam ini.