Sepanjang Simon McMenemy melatih skuad Indonesia dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, beliau gagal memastikan pasukannya meraih sebarang mata sehingga menghuni kedudukan tercorot dalam kumpulan.

Situasi itu memaksa Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) memecat pengendali dari Scotland itu dan menggantikannya dengan bekas jurulatih skuad Piala Dunia Korea Selatan, Shin Tae-yong.

Melalui temubual khas di laman YouTube Bang Bes, beliau mendedahkan jawatan jurulatih skuad kebangsaan Indonesia merupakan pekerjaan paling susah di Asia kerana bukan mudah untuk memuaskan hati para penyokong negara itu yang cukup fanatik.

“Saya rasa itu salah satu pekerjaan paling susah di Asia. Semua orang tahu Indonesia ini besar, banyak pemain berbakat tetapi banyak juga masalah di sekitarnya.

“Ini bukan sahaja salah satu pekerjaan yang paling sukar di Indonesia tetapi juga di Asia,” katanya.

Simon-McMenemy-Indonesia-800×533
Simon McMenemy

Bagaimanapun, ini bukan kali pertama beliau dipecat sebagai jurulatih kerana pernah ditamatkan kontrak sebanyak dua kali oleh kelab Liga 1 Indonesia iaitu Mitra Kukar dan Pelita Bandung Raya.

“Cabarannya besar ketika itu, dan saya rasa kamu perlu faham budaya Indonesia jika mahu terus berjaya di sini.

“Saya dipecat dua kali oleh Mitra Kukar dan Pelita Bandung Raya sebelum akhirnya saya kembali dengan kejayaan sebagai juara liga bersama Bhayangkara FC.  Jadi, saya harus gagal dua kali supaya boleh meraih kejayaan,” ujarnya.

Mengulas mengenai pengalamanya ketika melatih pasukan kebangsaan Indonesia, McMenemy mengakui berdepan banyak masalah di luar padang dan salah satunya ialah kelab tidak mahu melepaskan pemain mereka.

“Sudah berjam-jam kita cakap pasal ini. Saya fikir cabaran terbesarnya ialah ketika itu kita tiada identiti bagaimana kita akan bermain. Tidak ada. Banyak masalah di luar padang. Banyak sekali. Ada pasukan yang tidak mahu melepaskan pemain mereka,” jelasnya.

McMenemy
Sumber Gambar: Bola.net

Malah, ketika menjadi jurulatih Bhayangkara FC, beliau langsung tidak tahu dan tidak dimaklumkan mengenai perlepasan pemainnya ke skuad kebangsaan kerana tiada komunikasi di antara pihak kelab dengan PSSI.

“Saya masih ingat ketika menjadi jurulatih Bahayangkara FC, saya kehilangan banyak pemain. 2-3 bulan mereka menghilang. Saya tidak tahu di mana dan bila mereka akan kembali.

“Saya tidak tahu apakah mereka cedera. Tiba-tiba saja mereka menghilang dari sesi latihan dan saya tidak dapat khabar apa-apa. Tak ada surat. SMS pun tak ada. Saya kena telefon pemain itu sendiri untuk tahu. Ini adalah hal yang kita kena ubah dulu,” tegas jurulatih yang berusia 42 tahun itu.

McMenemy kini sedang menggangur dan masih menetap di Jakarta bersama keluarganya. Beliau juga sedang mengintai peluang untuk melatih pasukan dari Liga Malaysia.

Lagi artikel menarik mengenai perkembangan bola sepak Asia melalui pautan dibawah.

Muangthong United Buru Khidmat Pemain Indonesia, Febri Hariyadi

Anak Rivaldo, Rivaldinho Tertarik Untuk Beraksi Di Liga Malaysia

11 Kelab ‘Dibuang’ Daripada Liga Profesional China Kerana Masalah Kewangan