Skuad kebangsaan Indonesia kemungkinan akan berlepas ke Kuala Lumpur tanpa khidmat ketua jurulatihnya, Simon McMenemy apabila pengendali dari Scotland itu dilaporkan enggan menyertai skuad Garuda untuk perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Harimau Malaya pada 19 November ini.

Perkembangan itu disahkan oleh pengurus pasukan, AKBP Sumardji dalam laporan portal bola sepak Indonesia, Bolalob.com. Menurutnya, McMenemy tetap tidak mahu bimbing Indonesia untuk perlawanan terakhir setelah Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) mengumumkan pemecatannya sebagai ketua jurulatih pada minggu lepas.

“Saya sudah merayu coach Simon agar berangkat, tetapi orangnya tidak mahu. Ia jadi begitu kerana sudah ada pengumuman rasmi, secara psikologi dia tidak selesa.

“Ketika dia gagal membawa timnas Indonesia menang lawan Vietnam, sudah tentu secara automatik mentalnya sudah ‘down’,” kata Sumardji.

Simon yang masih mempunyai baki kontrak selama 2 tahun sehingga 2020 akan menerima pampasan sebanyak Rp3,9 miliar (1.15 juta ringgit). PSSI juga sudah mempunyai dua calon baharu untuk menggantikan tempatnya iaitu bekas jurulatih pasukan itu dari Sepanyol, Luis Milla dan bekas jurulatih Korea Selatan, Shin Tae Yong.

“Jadi setelah diumumkan Simon dipecat, sudah tentu kita perlukan jurulatih untuk bimbing pasukan ke sana. Saya sudah berbincang, jika tidak ada ketua jurulatih, kita akan menggunakan khidmat pembantu jurulatih, Yeyen dan Joko,” jelasnya.

Setelah mengharungi 4 perlawanan dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, Indonesia masih gagal meraih sebarang mata apabila tewas dalam semua perlawanan walaupun bermain di tempat sendiri.

Lagi artikel menarik mengenai perkembangan pasukan Indonesia melalui pautan dibawah. 

Dipecat dari Timnas Indonesia, Simon McMenemy Terima Rp3,9 Miliar

Fabiano Beltrame Selangkah Lagi Jadi Pemain Naturalisasi Indonesia

Indonesia U-20 All Stars Akan Hadapi Arsenal, Inter Milan, Dan Real Madrid

Sumber