Phillipe Coutinho bertekad mahu membalas kepercayaan yang diberikan selepas beliau dan Aston Villa telah mencapai kata sepakat bagi membolehkannya dipinjamkan ke kelab Liga Perdana Inggeris dari Barcelona.
Pinjaman sehingga penghujung musim dengan pilihan pembelian secara tetap itu juga menyaksikan Coutinho akan kembali bekerjasama dengan bekas rakan sepasukannya di Liverpool, Steven Gerrard yang kini merupakan pengurus kelab dari Birmingham itu.
Coutinho dan Gerrard menjadi sandaran utama Liverpool selama tiga musim [2012/13 hingga 2014/15] sebelum kapten legenda itu memilih untuk berkelana ke Amerika Syarikat bagi mewakili LA Galaxy dalam saingan Major League Soccer (MLS).
Pemain kelahiran Rio de Janeiro itu pula terus bertahan selama tiga musim di Anfield dan akhirnya berhijrah ke Barcelona pada 6 Januari 2018 dan satu keputusan yang disifatkan oleh peminat bola sepak sebagai sedikit merugikan.
Kini, peluang buat beliau untuk kembali mendapatkan sentuhan hebat seperti dijelmakan bersama Liverpool dan cukup signifikan apabila Coutinho bakal mendapat bimbingan daripada individu yang cukup dikaguminya.
“Satu kebanggaan dapat berada di sini, ini [Aston Villa] adalah merupakan kelab yang hebat,” ujar Coutinho menurut kenyataan dikeluarkannya di laman sesawang rasmi kelab tersebut.
“Saya banyak bercakap dengan pengurus, dengan Stevie [merujuk Steven Gerrard], dan dia memberitahu saya tentang kelab dan cita-citanya. Saya sangat gembira untuk berada di sini dan saya harap dapat menikmati bola sepak saya.”
“Saya sudah lama mengenali Stevie. Saya bermain dengannya dan banyak mempelajari sesuatu daripadanya.”
“Dia adalah seseorang yang saya amat kagumi. Saya berharap dapat lakukan yang terbaik di sini. Sudah pasti saya akan bekerja keras dan saya berharap kami dapat melakukan kerja dengan baik bersama-sama.”
“Saya tidak sabar untuk bertemu peminat, untuk berada di padang. Saya tahu dan merasakan mereka gembira melihat saya berada di sini.”
“Saya mahu membalasnya dengan aksi baik di atas padang dan menikmati bola sepak. Saya sentiasa mahu berikan yang terbaik, melakukan tugasan. Itulah sebabnya saya bekerja keras pada setiap hari.”
“Saya berharap ia akan menjadi musim yang hebat di sini,” tambah Phillipe Coutinho lagi.
Teruskan membaca artikel-artikel lain seperti dibawah.
TMJ “Whatsapp” Presiden Melaka United, Minta Selesaikan Tunggakan Gaji
20 Pasukan Piala Presiden Dan Piala Belia Bakal Berentap Pada Bulan Februari Ini