Ketika artikel ini ditulis, satu lagi kempen protes ke atas pemilikan Glazer dilakukan oleh penyokong Manchester United di Old Trafford.

Usaha Glazer yang menyokong ESL tempoh hari membuatkan penyokong United semakin bencikan mereka.

Namun ianya bukan perkara baharu bagi peminat Manchester United. Kempen kebencian ke atas Glazer ini boleh dikatakan berlaku sejak hari pertama keluarga Glazer diisytihar sebagai pemilik kelab.

Latar Belakang

Amerika Syarikat dikenali dengan negara kapitalisme. Dan pada sekitar 90-an mereka mulai mencari produk sukan yang berpengaruh termasuk di luar negara. Ketika itu ledakan penyiaran dengan stesen tv satelit serta semakin tinggi tajaan serta bonus kemenangan membuatkan ramai usahawan mereka mulai aktif membina empayar mereka di dalam dunia sukan.

Amerika menjadi pencetus kepada kontrak pemain yang tidak masuk akal. Malah satu ketika dahulu, pemain bola sepak bergaji tinggi akan digelar pemain bola bergaji NBA. Kerana francais seperti NBA, MLB serta Superbowl misalnya, sangat tinggi bayaran atlet.

Selain daripada mengaut keuntungan, usahawan ini juga melihat ianya mampu menguatkan lagi pengaruh mereka di dalam masyarakat.

Lalu wujud beberapa usahawan Amerika yang mulai meneroka ke Eropah. Antaranya Glazer. Mereka merupakan keluarga yang memiliki syarikat hartanah yang kaya raya. Keluarga Glazer melihat potensi besar pada Liga Perdana Inggeris. Lebih lebih lagi minat daripada seluruh dunia kepada liga tersebut termasuk dari Asia.

Apabila sebut Asia, ianya merangkumi China. Yang memiliki kuasa konsumerisme yang tinggi dan sanggup membayar apa sahaja demi pasukan kesayangan mereka.

Glazer memiliki latar belakang, terlibat dalam industri American Football di AS. Pada 1995, keluarga Glazer telah membayar sekitar £185 juta untuk membeli pasukan NFL; Tampa Bay Buccaneers. Pasukan tersebut awalnya tidak begitu menguntungkan kerana bergelut dengan prestasi.

Pada 1998, Glazer telah melobi kerajaan tempatan untuk membina stadium baharu kepada Buccaneers pada 1998. Lima tahun selepas itu, Tampa Bay menjuarai Super Bowl pertama dalam sejarah mereka. Keluarga Glazer mendapat publisiti yang sangat tinggi dan menjadi wira masyarakat setempat sekitar pasukan tersebut.

ee4c79b45fdfe796e09032075eb986e3

Selepas berjaya membantu kelab yang bergelut dengan risiko muflis, dan menjadi juara, mereka mulai yakin dengan keupayaan mereka menguruskan sebuah kelab selain daripada American Football.

United untuk dijual

Dan pada tahun 2003 itu juga Manchester United mencari pelabur baharu dalam kelab mereka. Peluang ini dihidu oleh keluarga Glazers merasakan Manchester United adalah jenama yang sangat kuat untuk mendukung cita-cita mereka.

Anak kepada Malcom Glazer iaitu Avram Glazer memainkan peranan penting dalam perlaburan ini. Beliau meyakinkan keluarganya agar menerokai sukan Eropah. Avram lebih berminat dengan bola sepak di Eropah – bukannya ‘bola sepak’ di Amerika.

Dengan situasi di Man United yang mencari pembeli, ianya dianggap seperti pucuk dicita ulam mendatang.

Pada awalnya keluarga Glazer melabur sekitar £9 juta untuk memiliki hanya 2.9% kepentingan di dalam Manchester United. Mereka menggunakan nama syarikat Red Football. Pada 26 September 2003, mereka meningkatkan lagi kepentingan dalam saham kelab kepada 3.17%. Ianya membolehkan mereka terlibat dalam pengurusan tertinggi kelab.

Ada beberapa media di AS mulai menjual nama Glazer dengan kata kata manis kepada penyokong. Malah di UK sendiri ada media mulai menjadi pro Glazer. Kerana mereka merasakan Glazer sangat berminat dengan Man United. Sambil menjaja cerita kebaikan Glazer dan kejayaan mereka di AS.

Beberapa propaganda dicetuskan media dan mulai berlegar cerita Glazer mahu mengambil alih Manchester United. Semua ini kerana Glazer. Dia membayar media media ini. Daripada spekulasi, ianya kemudian menjadi realiti.

Pada November 2003, mereka kini memiliki 15% kepentingan di dalam Manchester United. Sangat cepat mereka mendapatkan kepentingan 15% itu. Dan keluarga Glazer bertemu dengan David Gill – CEO Man United ketika itu – membincangkan tentang pengambil alihan.

ee4c79b45fdfe796e09032075eb986e3

Pada Februari 2004, Glazer menaikkan lagi pegangan saham mereka kepada 16.13%. Financial Times melaporkan Comerzbank antara penyokong utama Glazer dalam pengambilalihan Manchester United.

Secara tidak langsung, nilai kelab Manchester United ketika itu naik sekitar 5% – £741 juta – kerana spekulasi saham yang dibuat oleh beberapa media ekonomi.

Kepentingan mereka terus meningkat dan mencecah 30% pada hujung tahun 2004. Angka yang membolehkan mereka melakukan bidaan secara rasmi untuk pengambilalihan kelab.

Peminat peminat United mulai tidak senang dengan cara Glazer ini. Menurut mereka Glazer mendapatkan United dengan cara yang agak kotor. Mereka bukan menggunakan duit sendiri. Tetapi daripada bank yang boleh meletakkan kelab dalam hutang yang tinggi jika mereka menjadi pemilik.

Ketika itu di EPL, pemilikan kelab tidak seperti hari ini, tidak melalui fasa siasatan yang tinggi daripada panel EPL. Ianya terserah kepada kelab itu sendiri tanpa campur tangan daripada PL secara langsung.

Mimpi ngeri penyokong Manchester United menjadi nyata apabila Glazer secara rasmi mengambil alih Manchester United pada 2005. Ini selepas mereka berjaya memujuk J. P. McManus and John Magnier menjual saham mereka sebanyak 28.7% – membolehkan Glazer memiliki pegangan kepentingan sebanyak 57%.

Tidak lama selepas itu, mereka meningkatkan kepentingan mereka kepada 62% dengan membeli saham milik Harry Dobson. Pada 13 Mei 2005, mereka mulai menguasai 74.81%.

Dan pada 22 Jun 2005, Glazer mengeluarkan saham daripada bursa saham – buat pertama kali dalam tempoh 14 tahun. Glazer kemudian melobi pemilik saham yang lain dalam kelab agar menjual kepentingan kepada mereka. Dan pada 28 Jun, Red Football (milik Glazer) akhirnya berjaya memiliki Manchester United.

Penyokong Manchester United juga tidak senang dengan cara Glazer memiliki kelab itu adalah – mereka meminjam wang yang sangat besar yang disebut Payment In Kind Loans (PIK).

Ini secara tak langsung meletakkan Manchester United sebagai kelab yang berhutang, buat pertama kali sejak diselamatkan oleh James Gibson pada 1931.

Glazer menjadikan United lubuk duitnya

Apa yang berlaku, Glazer bukan menyuntik dana ke dalam kelab. Tetapi menyuntik hutang ke dalam kelab sebagai modal. Glazer tiada risiko yang tinggi – sebaliknya segala beban hutang itu lebih ditanggung oleh Manchester United.

Ataupun rumusnya, kerugian milik kelab, jika ada pulangan (tak semestinya keuntungan), mereka boleh ambil secara peribadi.

Pinjaman PIK ini meletakkan kelab dalam risiko – kerana ianya lebih kepada pertambahan faedah pinjaman berbanding dengan kemasukan aliran wang. Kesannya, ia akan meletakkan Manchester United dalam risiko menjadi kelab yang memiliki kadar hutang sangat tinggi.

Kerisauan penyokong ketika itu, tindakan Glazer ini akan meletakkan Manchester United dalam risiko muflis jika gagal diuruskan dengan baik.

Walaupun Man. United pada hari ini dilihat sukar untuk muflis kerana menjana pendapatan yang tinggi. Namun, dari aspek hutang; perkara itu hari ini memang berlaku, kerana Manchester United adalah pasukan yang paling tinggi hutang secara angka.

Manchester-United-fans-Glazers
Fans burn season ticket renewal forms in Protest against US sports tycoon Malcolm Glazer’s launched takeover bid for Mancester United after he bought the 28.7% stake owned by Irish racing tycoons JP McManus and John Magnier

Hutang hutang ini telah menjadi perisai Glazer untuk kebal di United. Mereka sengaja membiarkan hutang bertimbun pada paras yang dibenarkan FFP. Membuatkan mana mana pihak yang hendak membeli United berfikir banyak kali kerana hutang tersebut.

Mereka menjadikan United sebagai ‘tawanan’ mereka. Memanglah secara kasarnya United tak mungkin muflis sebab sangat tinggi keuntungan setiap musim tetapi, Glazer boleh membuatkan United muflis dengan keluar dari United dan membiarkan hutang tersebut. Tidak ramai pembeli yang sanggup membayar hutang sekirtar £500 juta.

Carta di bawah ini menunjukkan , dari 2008-2017 Malcom Glazer dan keluarganya sudah mengambil sekitar £1 billion daripada kelab. Hanya dengan cara, menyuntik hutang ke dalam Manchester United, dan mengambil dividen daripada pendapatan kelab.

D9hEu_bUIAADe7z

 

Pada 2017, Glazer telah menjual £4.3 juta kepentingan mereka ke Kepulauan Cayman – yang membolehkan mereka mendapat £56 juta keuntungan. Tahun yang sama, UEFA mengumumkan Manchester United sebagai ‘juara’ berhutang di Eropah.

Manchester United terus menjadi raja hutang

Pada 2017, Jumlah hutang United meningkat kepada €536 juta ataupun £464 juta. Jumlah itu jauh lebih tinggi daripada Benfica yang berada di tangga kedua dengan beban hutang sebanyak €336 juta.

Namun begitu Hutang tersebut lebih 25% daripada apa yang mereka tanggung pada tahun sebelumnya. UEFA juga menyatakan purata keseluruhan hutang kelab di Eropah kian berkurangan sejak 5 tahun kebelakangan ini.

Berita ini tidak disenangi oleh ramai penyokong Manchester United yang sebelum ini memang membantah kehadiran Glazer sekeluarga sejak 2005. Selepas mendengar berita tersebut, penyokong Man. United melancarkan protes besar-besaran dan kempen #GlazerOut.

Dan laporan oleh Price Of Football menyatakan, sebelum kehadiran Ed Woodward – bekas pekerja bank JP Morgan (ya bank yang mahu membiayai ESL dengan suntikan £3.5 billion ) – United merupakan kelab yang ada wang di dalam bank tanpa sebarang hutang.

Namun selepas Ed Woodward dilantik menjadi orang kanan Glazer di United, hutang United kini mencecah £837 juta untuk dibayar kepada 2 bank.

Glazer dilihat sengaja membiarkan hutang tersebut dan berterusan mengambil bahagiannya setiap tahun, walaupun realitinya, dia tak menyuntik dana langsung.

Pada 2015 dan 2016 masing-masing £521 juta dan £535 juta. Jika United benar benar serius mahu membayar hutang, mereka boleh sahaja membersihkannya ataupun mengurangkannya ke paras paling rendah.

UEFA tetap meletakkan United sebagai kelab yang bebas daripada ancaman FFP kerana pendapatan (revenue) tahunan dan aset jangka panjang yang besar. Dasar FFP menyatakan kelab tidak boleh melepasi 80% daripada daripada aset jangka panjang mereka. Dan United berada di paras tersebut.

Dalam laporan kewangan pada 2018, Manchester United masih berhutang sekitar £496 juta. Ianya kira-kira 80% daripada aset dan pendapatan kelab. Nampak tak? Angka yang meletakkan hutang pada paras 80%. Sengaja atau kebetulan?

Carta di bawah ini anda akan lihat, hutang dan bunga (faedah) yang perlu dibayar Manchester United pada 2019.

Dan lihat jumlah bayarang Director Fees yang sangat tinggi.

690-3

Bola sepak selepas perniagaan

Di bawah Glazer, Man United mulai menjadi kelab yang berniaga dan keduanya barulah bola sepak. Sejak Sir Alex Ferguson meletak jawatan, Man United masih gagal memenangi sebarang kejuaraan liga, sedangkan jumlah perbelanjaan yang dibuat sangat tinggi.

Ini kerana Ed Woodward dianggap sangat teruk dalam rundingan pemain. Dan kerap gagal mendapatkan pemain yang dikehendaki pengurus dan menggantikannya dengan pemain lain. Harganya pula sangat tinggi. Woodward mulai menarik pemain ke United kerana wang berbanding dengan status kelab itu sendiri dan menjadikan United selalu dibuli kelab penjual.

Perkara yang pernah diluahkan legenda United termasuk Gary Neville, Patrice Evra dan ramai lagi.

Jika anda bertanya, kenapa Solskjaer terus menggunakan Luke Shaw dan bukannya Alex Telles, dan berterusan menggunakan Fred dan bukannya Van De Beek?

Ini jawapannya, walaupun pemain pemain itu pemain yang bagus tetapi mereka bukan dalam senarai sasaran utama Ole Gunnar Solskjaer. Itulah hakikat di Man United.

 

Jose Mourinho pernah terbuka mengkritik Woodward kerana dengan selamba masih bercuti ketika kelab lain sudah sibuk memburu membeli pemain. Seterusnya, Woodward dilihat lebih sibuk mengejar penaja berbanding dengan aspek bola sepak.

Dari segi perniagaan, Ed Woodward dan Manchester United terus berjaya meningkatkan pendapatan tahunan mereka. Rakan niaga mereka semakin ramai. Termasuk jenama tandas pun ada, anda namakan sahaja, apa yang Woodward tak bawa masuk? Rakan bantal rasmi? Ya ada.

 

Dan inilah sebab kenapa Glazer sangat sukakan Woodward. Beliau adalah orang yang sangat pakar dalam perniagaan. Bahkan Louis Van Gaal sendiri pernah memberitahu, Woodward sebagai seorang yang kosong dalam ilmu bola sepak.

“Di Bayern, orang yang menguruskan bola sepak adalah lelaki dewasa [arif dalam bidang]. Dan saya sentiasa menghormati mereka. Manakala di Man. United, Ed Woodward diberikan jawatan CEO.”

“Ed Woodward merupakan orang yang kosong pemahaman tentang bola sepak. Beliau sebelum ini merupakan pegawai bank yang terlibat dalam pelaburan. Sesebuah kelab bola sepak tidak akan diuruskan dengan baik sekiranya terlalu dipacu dengan berasaskan perspektif komersial.”

Van Gaal kemudian berkata: “Ketika saya menyertai Manchester United, saya tidak pernah sekali pun berbincang dengan Woodward tentang falsafah bola sepak.”

Van Gaal mengimbas kembali detik Woodward berkata mereka melantik Van Gaal kerana falsafah bola sepak.

Woodward seolah olah ada isu nak percayakan orang lain yang lebih arif. Dia melakukan kesemua kerja. Dan tahun ini Woodward meletak jawatan pada akhir musim 2020/21, barulah mereka melantik pengarah sukan.

 

Berapa kos untuk memujuk Glazer menjual United?

The Athletic melaporkan, Glazer hanya akan tergerak hatinya menjual Man United, jika dibayar £4 billion.

Sebelum ini Putera Salman dikaitkan dengan pemilikan Manchester United. Namun selepas itu, beliau menafikan secara rasmi perkara itu dan menegaskan hanya berbincang soal perniagaan.

Dan jika Putera Salman mahu membeli Man. United, baginda ketika ini dilaporkan memiliki kekayaan sekitar £13.5 billion. Ini bermakna baginda harus membelanjakan sekitar 29% daripada kekayaannya untuk membayar tanda harga diletakkan Glazer.

Kempen Glazer Out terus bergema kerana kerakusan pemilik menjadikan kelab sebagai lubuk duit dan tidak pernah kisah soal tradisi dan imej kelab di mata dunia.

Itulah kisah panjang perjuangan penyokong United dari dahulu menyatakan kebencian mereka kepada Glazers dan sekutunya.

Penyokong United terus bersolidariti di seluruh dunia dengan bersorak: “Love United, Hates Glazers.”