Sarawak United dilaporkan sanggup untuk melepaskan pemain import mereka, Sandro Da Silva secara percuma selepas pihak pengurusan kecewa dengan tindakan pemain dari Brazil itu.
Presiden Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS), Datuk Posa Majais berkata tindakan Sandro yang mewar-warkan isu tunggakan gaji dianggap tidak wajar dan Sarawak United sedia untuk berpisah dengan pemain itu.
Susulan dakwaan tunggakan gaji, Sarawak United dikatakan sedia lepaskan Sandro da Silva secara percuma jika ada pasukan lain berminat mendapatkan khidmat pemain tengah dari Brazil itu pada jendela kedua perpindahan Liga Malaysia.
— Zulhelmi Zainal Azam (@zulhelmizainal1) May 17, 2021
“Kenapa Sandro perlu (war-warkan) masalah gaji sedangkan hanya tertunggaknya sebulan setengah. Itu pun nak keluar di berita dunia, bukannya 2-3 bulan pun.
“Boleh pastikan dengan pemain-pemain lain, gaji yang tertunggak ialah sejak April lalu dan bulan ini,” katanya menurut laporan Stadium Astro.
Sebelum ini, Sandro Da Silva mendakwa tidak menerima gaji penuh sejak Januari lalu apabila hanya menerima 70 peratus gaji dua bulan pertama, iaitu pada Januari dan Februari sebelum langsung tidak dibayar apa-apa untuk bulan berikutnya.
Terkilan dengan tindakan Sandro, Dato Posa sedia melepaskan pemain itu dengan percuma tanpa sebarang yuran perpindahan pada jendela perpindahan kedua musim ini.
“Terserah kepada jurulatih kerana kalau ikutkan hati, saya memang tidak mahu tengok muka dia lagi. Kalau hendak kekal, dia perlu tunjukkan prestasi baik.
“Kalau betul kelab luar nak ambilnya, saya bagi percuma sahaja cuma bayar gaji sebulannya yang tertunggak. Soal yuran perpindahan saya sedekahkan sahaja,” tambahnya.
Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Liga Malaysia di sini:
Tan Cheng Hoe Jelaskan Objektif Yang Mahu Dicapai Ketika Berdepan Kuwait Dan Bahrain
Pemerhati Bola Sepak: Jurang Mata Rapat, JDT Berdepan Tugas Sukar
Samuel Somerville: Satu Penghormatan Dipanggil Beraksi Bersama Skuad Kebangsaan