Pemain import Sarawak United, Boris Kok mendedahkan keperitan yang dihadapi oleh pemain pasukan itu setelah empat bulan tidak menerima sebatrang gaji seperti yang didedahkan oleh Persatuan Pemain-Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) baru-baru ini.
Menerusi laman Facebook beliau, Boris menegaskan situasi adalah sukar buat semua pemain kerana ada dikalangan daripada mereka yang tidak mempunyai wang untuk membayar tanggungan seperti kereta, rumah, makan dan minum bahkan keluarga mereka.
“Memang betul Sarawak United tidak membayar semua pemain dan kakitangan sejak 4 bulan dan semua pemain masih mengekalkan tingkah laku profesional dan motivasi mereka dalam bermain setiap perlawanan.
“Keadaan sangat sukar buat semua orang. Tiada wang untuk membayar rumah, untuk membayar makanan, untuk bergerak dengan kereta, untuk menanggung keluarga. Semua orang menderita tetapi kami tidak pernah bercakap dalam media kerana kami sangat menyayangi peminat Sarawak United dan Sarawak. Kami tidak mahu menyalahkan kelab dan menghormati mereka.
“Kami bersabar, pihak kelab berjanji berkali-kali untuk membayar kami sejak 3 bulan selepas setiap perlawanan. Tetapi tiada apa-apa dan hari demi hari keadaan kami semakin sukar,” kata Boris Kok.
Pemain kacukan Kemboja-Perancis itu turut menjelaskan situasi mengenai dirinya yang sudah tidak bersama pasukan sejak bulan Julai lalu. Boris kembali ke Perancis bagi menyambut anak kelahirannya dan pihak kelab meminta pemain itu agar kekal di sana.
“Situasi saya berbeza kerana kelab memberi saya dua minggu gaji pada bulan Julai lalu untuk pergi ke Perancis untuk bagi menyambut kelahiran anak saya. Semasa saya di Perancis, selepas 3 bulan tanpa gaji saya boleh menamatkan kontrak saya dengan kelab mengikut peraturan FIFA dan kembali ke Kemboja kerana saya berstatus pemain pinjaman. Pengurusan pasukan bercakap dengan saya dan saya memberi peluang untuk kelab dengan menghormati peminat Sarawak United.
“Jadi sekarang presiden berjanji kepada kami bahawa dia akan menyelesaikan perkara ini dalam dua minggu akan datang. Kami berharap dia akan menghormati kata-katanya sendiri untuk masa depan pasukan,” tambah Boris.
Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Liga Malaysia musim 2022 di sini:
78,000 Tiket Final Piala FA 2022 Akan Dijual, Harga Bermula RM50